JAKARTA: Kedatangan pelancong Indonesia ke Malaysia dijangka meningkat kepada 2.68 juta tahun ini daripada 1.48 juta tahun lepas didorong penambahan aksesibiliti udara dan laut di antara kedua-dua negara.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata kini terdapat 550 penerbangan setiap minggu yang dioperasikan oleh syarikat seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Batik Air dan Transnusa Airlines.
Berucap di Sesi Rangkaian Perniagaan Sarawak di Indonesia (Sarawak Business Networking Session Roadshow to Indonesia) pada Isnin, beliau berkata beberapa laluan baharu telah diperkenalkan tahun ini seperti dari Balikpapan dan Kertajati ke Kuala Lumpur serta dari Jakarta ke Kuching, Sarawak.
“Selain itu, akses melalui laut dari Medan, Pekanbaru, Batam dan Nunukan ke Malaysia serta laluan darat dari Pontianak ke Kuching, Sarawak juga terus bertambah,” katanya.
Jerayawara anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Jakarta akan disusuli di Balikpapan dan Banjarmasin sebagai usaha mempromosi Sarawak kepada masyarakat Indonesia, dengan kerjasama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Tourism Malaysia Jakarta dan Association of Indonesian Tours and Travel Agencies.
Terdahulu, Syed Md Hasrin berkata seramai 1,037,450 pelancong Malaysia berkunjung ke Indonesia pada 2022.
“Saya yakin dengan menjaga hubungan baik dan kerjasama dua hala yang terus ditingkatkan, khususnya dalam hal aksesibiliti, maka industri pelancongan kedua-dua negara dapat semakin berjaya di masa depan,” katanya.
Sementara itu, pemangku ketua pegawai eksekutif STB Yusfida Khalid berkata Sarawak mencatat lebih 200,000 kedatangan pelancong Indonesia dari semua pintu masuk dari Januari hingga Jun tahun ini berbanding 46,000 pelancong pada tempoh yang sama tahun lepas.
Penganjuran acara Sarawak International Dragon Boat Regatta bulan depan dan Sarawak Regatta pada November akan menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Sarawak, katanya di majlis yang turut dihadiri oleh pengarah Tourism Malaysia Jakarta Junus Suhid.
— Bernama