Site icon Sabah Baru News

Pendidikan komprehensif lahirkan modal insan berkualiti tinggi: Ghulam

Ghulam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Akademik (MANIS) Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Papar, di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Penyediaan pendidikan secara komprehensif penting untuk dititikberatkan, bagi menyedia modal insan berkualiti tinggi, kata Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Sehubungan itu, beliau berharap pelbagai usaha dan galakan diberikan kepada golongan pendidik selain meningkatkan prasarana pendidikan.


Katanya, komitmen tinggi pendidik menyumbang kepada kejayaan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), seterusnya anjakan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah. 


“Ini membuktikan bahawa mana-mana organisasi yang dipimpin oleh pemimpin positif, berdedikasi dan berilmu akan berjaya dan menghasilkan kemenjadian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Akademik (MANIS) Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Papar, di sini hari ini.


Program itu bertujuan menghargai, menjunjung dan seterusnya mengiktiraf sumbangan, kejayaan serta  pencapaian pengetua, guru besar dan guru-guru dalam kepimpinan pendidikan dan pengurusan sekolah.


Ia mengangkat tema ‘Guru berkualiti pemacu kemenjadian murid’. 


Hadir sama  Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Bakri Sudin.


Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang menyifatkan penganjuran MANIS kali kedua tahun ini, sebagai langkah proaktif memartabatkan kecemerlangan pendidikan.


Katanya, ia wajar diteruskan seiring usaha mengangkat agenda pendidikan negeri dan meningkatkan prestasi pendidikan daerah.


Beliau berkata di pihak kerajaan negeri Sabah, pelbagai usaha dilaksana bagi memperkasa pendidikan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Antaranya, kerajaan menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membolehkan anak-anak tempatan negeri Sabah, mendapat peluang melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi. 


“Menerusi TPNS di mana Kumpulan Yayasan Sabah menjadi penggerak utamanya, kerajaan akan pastikan matlamat kemudahan ini benar-benar sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version