Site icon Sabah Baru News

E-Khidmat MyOnline pasport akan diperluas – JIM Sabah

Saleha (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pelancaran Kiosk Permohonan MyOnline Pasport dan Hari Bertemu Pelanggan. 

KOTA KINABALU:  Program e-Khidmat Myonline Pasport akan diperluas ke Pejabat Imigresen UTC di seluruh Sabah, kata  Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha  Habib Yusoff.

Menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan oleh Pejabat Imigresen UTC Kota Kinabalu itu bertujuan meningkatkan kefahaman orang ramai khususnya para pemohon pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) mengenai tatacara penggunaan perkhidmatan Myonline Pasport, sekaligus mengurangkan kesesakan pelanggan di kaunter.

“Secara dasarnya, perkhidmatan dalam portal rasmi JIM ini telah dilancarkan oleh JIM sejak 1 Julai 2020 namun, masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

“Ia menyebabkan Pejabat  
Imigresen UTC  di  seluruh  negara 
seringkali menjadi sesak terutamanya pada hujung minggu dan hari kelepasan am kerana pelanggan lebih suka memilih waktu ini dengan hadir secara fizikal. 

“Oleh itu, dalam inisiatif ini, kita menyediakan kaunter khas dengan beberapa pegawai pemudah cara yang akan membantu 20 pelanggan terpilih secara rawak mengenai tatacara penggunaan e-Khidmat Myonline Pasport dan kita menerima maklum balas yang positif,” jelasnya. 

Salah seorang pelanggan (duduk) sedang melayari e-khidmat MyOnline JIM sambil diperhatikan oleh Saleha (kanan). 

Ujar Sitti Saleha, statistik merekodkan jumlah pengunjung yang hadir secara fizikal sepanjang tahun 2020 ialah 8,229 orang sebelum turun kepada 3,889 orang pada tahun berikutnya dan melonjak kepada 24,614 orang sehingga Oktober tahun ini.

“Berbanding statistik pengeluaran pasport menggunakan perkhidmatan Myonline Pasport bagi tempoh Januari hingga September tahun ini hanya 5,460 permohonan.

“Ini menunjukkan jumlah pelanggan yang hadir secara fizikal ke Pejabat Imigresen UTC lebih banyak berbanding pengguna secara dalam talian,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kiosk Permohonan MyOnline Pasport dan Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di UTC Sabah, pada Isnin. 

Tambah beliau, pemohon berumur 13 tahun ke atas amat digalakkan memohon pembaharuan PMA berumur 13 tahun ke atas digalakkan menggunakan perkhidmatan Myonline Pasport.

Manakala, pemohon dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah, pelajar yang akan menyambung pengajian dan jemaah haji adalah tidak dibenarkan memohon secara dalam talian.

Melalui perkhidmatan berkenaan, pelanggan boleh memilih untuk mengambil pasport di pejabat pengeluar pasport yang disenaraikan dalam sistem.

wartaoriental

Exit mobile version