Site icon Sabah Baru News

Pemuda, Wanita PBS digesa lantang suarakan isu semasa

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita PBS kali ke-38, Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang.

PENAMPANG: Sayap Pemuda dan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS)digesa supaya lebih berani bersuara lantang dengan isu-isu semasa dan memberi idea-idea baharu serta bernas.

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, namun dalam menyuarakan isu-isu yang penting, pihak terbabit perlu memahami dan mengetahui isu secara mendalam agar tidak tersalah fakta yang hendak disampaikan.
 
Katanya, keunikan atau keistimewaan Pemuda dan sebilangan besar Wanita, ramai yang celik bidang komunikasi, teknologi maklumat (ICT) dan mampu menggunakan teknologi digital yang canggih.

Menurutnya, ia menepati keperluan zaman sekarang yang menuntut ilmu atau kepakaran menggunakan teknologi digital bukan sahaja untuk kerja harian tetapi juga untuk menyebarkan maklumat.

“Bayangkan kalau kita ada 20 orang dalam sekumpulan, dan setiap 20 orang ini ada lima kumpulan yang lain, dalam satu klik sahaja kita dapat sebarkan maklumat kepada 100 orang.

“Saya percaya kamu mempunyai lebih dari satu ‘chat group’ yang kita boleh majukan mesej setiap minit. Inilah senjata yang paling berkesan untuk menyebarkan idea kepada orang awam dan ahli-ahli kita.

“Justeru, saya menyarankan kita semua tetapi lebih kepada Sayap Pemuda dan Wanita untuk mengembangkan parti kita,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS Kali Ke-38 di sini hari ini.

Beliau berkata, PBS kini dalam fasa memperkasakan dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai selain, fasa peralihan dan pengukuhan pemimpin-pemimpin pelapis.

Sehubungan itu katanya,  semua Pemuda dan Wanita perlu sama-sama bangkit dan menjadi sebahagian dari proses kebangkitan parti.

“Marilah kita bangkitkan semangat 1985, kita semua bersatu tidak kira miskin dan kaya, tidak kira pangkat dan kedudukan. Bangkitlah untuk satu negeri, satu tujuan dan satu perjuangan iaitu perjuangan Parti Bersatu Sabah.

“​Pada masa sama, kita perlu realistik dan terbuka kepada perubahan. Dunia politik terus berubah, dan kita perlu bertransformasi untuk tetap relevan dan berdaya saing.

“Mari kita jadi ejen perubahan yang membawa PBS ke arah yang lebih progresif dan inklusif,” jelasnya.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version