Site icon Sabah Baru News

Tiada ADUN GRS lain lompat – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam gabungan itu melompat keluar menyokong pihak lawan.

“Mana ada lompat. Saya tidak tahu yang satu ini (Wetrom Bahanda) lompat atau tidak. Belum lagi ada pengumuman rasmi daripada beliau,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa ditanya tentang dakwaan empat lagi ADUN GRS dikatakan akan melompat.

Isu empat ADUN GRS keluar itu mula tular selepas ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu bagi menyertai Parti Warisan (Warisan).

Namun, penyertaannya ke dalam Warisan belum diumumkan secara rasmi oleh Wetrom yang dilihat bertemu dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam progam tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya pada Ahad.

Walau bagaimanapun, tiga daripada mereka iaitu Dato’ Sri Ruddy Awah (Pitas), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) masing-masing menafikan mereka beralih sokongan kepada pihak lawan.

Semalam, dalam pertemuan ADUN GRS dan Bersatu bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, semua ADUN di bawah GRS kekal bersama gabungan itu dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Masidi, hanya seorang ADUN Bersatu tidak hadir pada pertemuan tersebut iaitu Datuk Rubin Balang (Kemabong) namun, beliau (Rubin) telah menyatakan pendirian untuk kekal bersama parti.

UTUSAN

Exit mobile version