Site icon Sabah Baru News

Diapit pemimpin pelbagai latar, tanda Hajiji berjiwa besar

IMBAS KEMBALI:Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) bergambar bersama 44 ADUN yang menyokong beliau selepas mengadakan mesyuarat bersama pemimpin GRS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

KETIKA manuver politik Sabah awal tahun ini, pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah secara lantang dan terbuka menyatakan sokongan kuat kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor untuk terus menerajui kepemimpinan negeri.

Mereka tampil teguh berdiri, mengapit Hajiji di kiri dan kanan. Berikrar untuk kukuh bersama, pastikan kerajaan tidak patah sayapnya.

Foto pertemuan itu bukti kebersamaan. Menjadi tatapan teguhnya pendirian, menghiasi halaman depan akhbar tempatan.

Ikrar taat setia mereka itu segera menamatkan episod suspen pada babak awal percubaan rampasan kuasa oleh sekumpulan politikus, yang bermain wayang di panggung politik.

Komplot yang didalangi kumpulan dari dalam kerajaan dan bersekongkol pembangkang itu tidak menjadi, lantaran sebahagian platunnya sendiri tidak merestui gerakan komandernya.

Cubaan kudeta itu pun gagal. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal berkuasa. Hajiji terus melangkah, mentadbir negeri penuh waspada.

Beberapa hari lepas ketika berada di Tongod, Hajiji menghargai kerjasama baik di antara GRS dan PH Sabah dalam membawa kemakmuran.

Di hadapan ribuan penyokong partinya, Hajiji menyatakan keyakinan bahawa muafakat dan kebersamaan itu akan membawa kejayaan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Keyakinan itu juga berdasarkan penerimaan rakyat yang terus meningkat mutakhir ini.

Dalam tempoh berbaki kira-kira dua tahun menjelang PRN, fokus Hajiji kini adalah untuk mengukuhkan perpaduan dalam landskap politik negeri selain meningkatkan kerjasama dengan rakan parti sekutu dalam kerajaan.

IMBAS KEMBALI: Pada 25 November tahun lalu, ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah telah menyatakan sokongan mereka kepada Ketua Menteri Hajiji Noor untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) 

Panganalisis politik melihat kerjasama GRS-PH Sabah sebagai muafakat politik cukup ideal walaupun sifatnya unik kerana kepelbagaian parti dalam kedua-dua gabungan berkenaan.

Seperti dibayangkan oleh Hajiji bahawa walaupun GRS dan Gagasan Rakyat sifat perjuangannya berpaksi semangat lokal, tapi ia tidak bermakna tidak mahu bekerjasama dengan parti nasional.

Sebab itu, beliau mengulangi pendirian untuk terus bekerjasama dan mempunyai hubungan baik dengan parti nasional, selain meneruskan perjuangan memenuhi kehendak rakyat yang mahukan parti tempatan mentadbir negeri ini.

Penubuhan Gagasan Rakyat terinspirasi daripada laungan tuntutan suara rakyat yang mahukan mereka dipayungi parti lokal.

Struktur politiknya sudah berada pada landasan terbaik, sedang bergerak lancar membawa Sabah meluncur maju di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Yang penting, agenda pembangunan jangan lagi digugat oleh drama dan manuver politik berterusan. Rakyat sudah muak dan bosan. Mereka mahukan kestabilan.

Jangan sesekali terpancing permainan politik sempit dan keperibadian, sebaliknya membuka tingkap seluasnya. Melihat horizon jauh terbentang bagi masa depan Sabah.

Dukungan pimpinan PH Sabah dari pelbagai latar belakang pada kepimpinan Hajiji adalah manifestasi komitmen mereka untuk seorang pemimpin berjiwa besar bernama Hajiji. Tanda perjuangannya tidak pernah tersasar seperti apa yang cuba disebar ke serata platform siber.

Demi Sabah, Hajiji tetap tabah dan tidak gelabah menghadap cabaran demi cabaran yang menduga.

Tanpa mengalah, nawaitunya ikhlas menjadi pentadbir di jalan yang lurus dan tidak bersimpang-siur, untuk mengurus negeri yang subur menjadi makmur.

Hajiji sudah banyak kali diuji dari berbagai segi dan persepsi, tapi jiwanya kental kerana hatinya tetap tebal merakyat.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.
Exit mobile version