Site icon Sabah Baru News

Pembukaan Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu, perkukuh jalinan Korea-Sabah

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae berkata jalinan antara Korea dan Sabah menyaksikan peluasan kerjasama dalam sektor ekonomi sekali gus meningkatkan kedudukan serta potensi negeri ini kepada syarikat dari Korea.

KOTA KINABALU: Pembukaan Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu akan membantu mengukuhkan lagi hubungan antara negara Korea Selatan dan Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae berkata, Korea dan Sabah sentiasa membina hubungan mesra melalui pendekatan ‘people to people’ secara aktif.

Menurutnya, rakyat Korea melawat Sabah untuk menikmati keindahan matahari terbenam, budaya yang unik, masakan yang lazat serta pelbagai.

Katanya, perkara itu banyak menyumbang kepada pemulihan ekonomi Sabah dan menggalakkan pertukaran modal insan, budaya antara Korea dan Sabah.

“Sebelum Pandemik COVID-19, hampir 400,000 rakyat Korea melawat Sabah dan angka ini menduduki tempat kedua tertinggi dalam kalangan ketibaan pelancong asing.

“Tahun ini, Korea berada di tangga teratas dengan lebih 80,000 pelancong ke Sabah dari Januari hingga Mei.

“Pada masa ini, lebih 30 penerbangan beroperasi setiap minggu menghubungkan Korea ke Kota Kinabalu, dengan jangkaan pertumbuhan selanjutnya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu di sini semalam. Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Yeo berkata, jalinan antara Korea dan Sabah menyaksikan peluasan kerjasama dalam sektor ekonomi sekali gus meningkatkan kedudukan serta potensi negeri ini kepada syarikat dari Korea.

Menurutnya, Sabah dengan sumber asli yang banyak, tenaga kerja yang boleh dipercayai dan kelebihan geografi strategik membolehkan akses mudah ke pelbagai bahagian dunia serta menjadi rakan ekonomi yang menarik bagi Korea.

Beliau berkata, komitmen kukuh kerajaan negeri dan dasar mesra Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah faktor penting yang menyumbang kepada pertimbangan Sabah sebagai destinasi penting untuk pelaburan syarikat Korea.

“Sebagai contoh, syarikat Korea SK Nexilis memutuskan untuk melabur sekitar RM4.2 bilion ringgit di Sabah pada 2021 dan memulakan operasi dengan pengeluaran mulai Mei tahun ini.

“Usaha ini mewujudkan lebih daripada 500 pekerjaan yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan pada masa ini, terdapat sekitar 10 syarikat Korea beroperasi di Sabah.

“Saya yakin pembukaan Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu akan menambahkan lagi dorongan baharu kepada lebih banyak kerjasama ekonomi dan budaya antara Korea dan Sabah,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version