Site icon Sabah Baru News

Manfaatkan keindahan, kekayaan budaya Sabah – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Bakti Sastera Gapena 2023 kepada Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani sempena Majlis Pelancaran Hari Sastera ke-19 di Hotel Promenade di Kota Kinabalu, pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Keindahan dan kepelbagaian seni budaya serta adat resam yang di Sabah perlu diterokai serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh pejuang sastera untuk menghasilkan karya bermutu tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa menyokong usaha dan aktiviti untuk mengangkat seni budaya serta adat tradisi masyarakat tempatan di Sabah.

“Sabah sangat luas dan kaya dengan budaya serta adat resam. Negeri ini saja mempunyai 35 etnik dan 217 sub etnik yang bertutur dalam lebih 50 bahasa serta 80 dialek etnik.

“Keindahan khazanah alam di negeri ini dengan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang, pantainya luas dan pulau-pulaunya yang indah memukau, sepatutnya  pejuang sastera serta budayawan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu untuk menghasilkan karya indah serta bermutu tinggi.

“Justeru, pemilihan Kota Kinabalu sebagai Tuan Rumah Hari Sastera Ke-19 ini, amatlah dialu-alukan. Semoga majlis ini dapat mengangkat seni, sastera, bahasa dan 
budaya orang Sabah ke pringkat nasional serta global,” katanya ketika melancarkan Hari Sastera Ke-19 di sini, pada Jumaat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Bakti Sastera Gapena 2023 kepada sasterawan Sabah, Datuk Jamdin Buyong sempena Majlis Pelancaran Hari Sastera ke-19 di Hotel Promenade di Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Hajiji berkata, buku seperti antologi puisi, koleksi cerpen dan novel, misalnya adalah bahan kesusasteraan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat, terutama jika penulisnya itu seorang sasterawan terbilang.

“Sebagai seorang yang meminati kesusasteraan Melayu, saya ingin melihat di Sabah mempunyai ramai penulis atau karyawan bukan sahaja terkenal, tetapi tersohor dan 
termasyhur. 

“Kita mempunyai ramai penulis dan penyair seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Juri Durabi, Siti Rahmah G Ibrahim, Abdul karim Gullam, sekadar menamakan segelintir daripada mereka. 

“Pada era 60an sehingga 70an, kita mempunyai Jamdin Buyung, K.Bali, Saidi Lampoh (S.Mala), Ismail Abbas (Amil Jaya), M.A. Rahman, Noraini Haji Salleh dan banyak lagi. 

“Tetapi nama-nama itu tidak terangkat sehingga ke peringkat nasional sebagaimana nama-nama besar seperti Abdullah Hussain, Arenawati, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan dan Lim Swee Tin.

“Justeru, saya rasa sudah tiba masa penyair-penyair dan penulis dari Sabah di ketengahkan di peringkat nasional,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penglibatan karyawan dan penggiat seni dapat menyemarakkan lagi dunia seni dan sastera, bahasa dan budaya di Sabah. 

“Selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah, pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menetapkan tujuh keutamaan untuk dilaksanakan.

“Antaranya pendigitalan seni budaya, pemuliharaan budaya, penyelidikan, dokumentasi budaya, pengembangan seni dan perlindungan harta intelek.

“Saya juga yakin, kegiatan bahasa dan sastera di Sabah ini akan terus menyerlah kerana kita mempunyai badan yang bergiat aktif memperjuangkan bahasa dan sastera. 

“Semoga sambutan Hari Sastera ini akan menjadi pemangkin kepada gagasan lebih besar untuk menjadikan Sabah sebagai Dataran Bahasa Sastera dan Budaya yang terpenting di rantau ini,” katanya.

Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan satu anguerah khas kepada pejuang sastera di Sabah.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Datuk Ariffin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Ariffin Haji Mohd Arif),” katanya.

Selain Mohd Arifin, turut hadir ialah Presiden Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia merangkap Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Datuk Jasni Matlani.

Tamat

Exit mobile version