Site icon Sabah Baru News

SAFA Tawau komited lahirkan pengadil bola sepak professional

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tawau Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (empat kiri) bergambar bersama semua peserta kursus berkenaan.

TAWAU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tawau komited mahu melahirkan lebih ramai pengadil professional dalam kalangan belia di daerah ini.

Presidennya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya akan sentiasa membantu memajukan mutu sukan bola sepak di daerah ini supaya boleh bersaing ke peringkat antarabangsa.

Katanya, SAFA Tawau juga turut memberi penekanan terhadap kursus pengadilan bola sepak bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang berkenaan.

“Kita sudah bermesyuarat beberapa kali untuk membincangkan kemajuan bola sepak di daerah ini dan banyak aktiviti yang akan dilaksanakan termasuklah galakan belia terhadap bidang pengadilan.

“Saya mahukan SAFA Tawau bukan hanya melahirkan pemain bola sepak professional, tetapi turut melahirkan pengadil bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pengadil Bola Sepak Kelas Tiga, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Unit Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha.

Menurutnya, SAFA Tawau juga akan terus bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya dalam menganjurkan kursus-kursus sukan berkenaan.

Nizam sangat berbangga kerana SAFA Tawau telah memainkan peranan dengan cemerlang selama ini untuk mencungkil bakat baharu sama ada pemain mahupun pengadil.

“Saya sangat gembira kerana rata-rata yang mengikuti kursus hari ini adalah dalam kalangan remaja dan ia perlu ditekankan supaya mereka dapat mengetahui peraturan bola sepak yang sentiasa berubah.

“Ini juga membuktikan bahawa SAFA Tawau berjaya menarik perhatian remaja di daerah ini untuk menceburi dalam bidang pengadilan bola sepak,” katanya.

Beliau berharap semua peserta kursus akan menjadikan bidang pengadilan ini sebagai kerjaya mereka pada masa akan datang.

“Peserta kursus ini juga diharap boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mampu mengharumkan nama daerah Tawau,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version