Site icon Sabah Baru News

Pilih laluan pendidikan yang penuhi pasaran tenaga kerja – Masidi

Masidi berkata demikian pada majlis penyampaian Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah kepada 106 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemburongoh di sini semalam

RANAU: Pelajar sekolah menengah khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digesa untuk memilih laluan pendidikan dan kerjaya yang memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia penting agar kebolehpasaran pelajar dan kejayaan masa depan mereka adalah seimbang.

“Para pelajar khususnya yang kini berada di tingkatan empat dan lima diingatkan agar tidak memilih kursus yang lebih mudah kerana ia mungkin tidak menghasilkan prospek pekerjaan yang lebih baik selepas tamat pengajian.

“Memilih kursus bukan semata-mata untuk menamatkan pengajian dengan cepat, tetapi ianya memastikan anda dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah kepada 106 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemburongoh di sini semalam.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, pelajar juga perlu meluangkan masa untuk meneroka minat dan kekuatan mereka selain mencapai matlamat kerjaya jangka panjang sebelum membuat keputusan.

Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak menolak kursus teknikal yang menjadi permintaan tinggi dalam pelbagai industri selain mahu pelajar mempertimbangkan laluan pendidikan teknikal dengan serius.

“Masa depan industri minyak dan gas di Sabah kini semakin baik dan Kerajaan Negeri mengambil bahagian secara aktif dan memperoleh pendapatan daripada sektor minyak dan gas, khususnya dalam segmen huluan.

 “Penglibatan ini telah membawa kepada peluang yang besar dan prospek kerjaya dalam industri, menjadikannya satu bidang yang menarik untuk bakal profesional di Sabah,” katanya.

Masidi turut mengumumkan kelulusan sebanyak RM50,000 untuk sekolah, RM20,000 untuk perpustakaan sekolah dan pusat sumber untuk mencapai nisbah 20 buku bagi setiap pelajar dan RM30,000 untuk kemudahan sukan sekolah kerana sekolah terus mencapai kejayaan dalam bidang sukan dan  catur walaupun tidak mempunyai padang sekolah. 

TAMAT

Exit mobile version