Site icon Sabah Baru News

Kerajaan negeri salur 45 bot penyelamat sebagai persediaan hadapi banjir

KESELAMATAN: Hajiji menunjukkan jaket keselamatan yang disertakan di dalam bot penyelamat terbabit.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyalurkan 45 buah bot penyelamat sebagai persediaan menghadapi bencana banjir terutama di daerah yang kerap digenangi air di negeri ini.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah merangkap Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Datuk Awang Shahminan Awang Sahari berkata turut disertakan bersama bot adalah jaket keselamatan serta enjin bot dengan keupayaan 15Hp dan alat penarik bot.

“15 daripada bot diberikan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, enam daerah iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Kota Belud, Papar, Tuaran Sipitang dan Tongod menerima dua bot setiap daerah manakala tiga buah bot masing-masing di Pitas, Kota Marudu, Penampang, Tenom, Beaufort dan Paitan.

“Setiap bot boleh menempatkan enam individu dan pemilihan bot bagi jenis fibre ibu adalah berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya semasa ditemui semasa Majlis Penyerahan sumbangan bot penyelamat yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini.

Beliau berkata usaha ini diharap dapat membantu dalam pengurusan bantuan yang dialami semasa berlakunya bencana banjir di negeri ini.

“Kita harapkan dengan adanya penambahan bilangan bot di daerah yang kerap dilanda banjir mampu memberikan bantuan dengan lancar dan cepat serta boleh menjamin keselamatan mangsa banjir yang terlibat untuk dipindahkan ke kawasan selamat.

“Diharapkan agar lebih banyak bantuan seumpama akan disalurkan di masa akan datang bagi memastikan kesejahteraan penduduk kekal terpelihara,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata sebelum ini JBPM Sabah mempunyai keseluruhan 57 buah bot bagaimanapun jumlah terbabit tidak mencukupi untuk menampung keperluan yang ada di negeri ini.

Katanya penambahan 15 buah bot penyelamat ini akan menambah kekuatan sedia ada dalam melaksanakan operasi menyelamat pada musim banjir terutama di kawasan yang sering dilanda bencana itu.

“Penambahan bilangan bot penyelamat ini juga mampu membantu mempercepatkan operasi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat berikutan bot fibre ini lebih ringan dan boleh bergerak di kawasan cetek berbanding bot sedia ada jenis aluminum yang lasak dan berat,” katanya.

Menurutnya JBPM Sabah akan mengagihkan bot penyelamat ini ke daerah yang mempunyai keperluan tinggi iaitu kawasan yang kerap dilanda banjir seperti Kota Belud, Beaufort dan beberapa daerah lain.

“Dua bot juga akan ditempatkan di ibu pejabat JBPM Sabah iaitu di Kota Kinabalu untuk persediaan menghadapi sebarang bencana dan kecemasan.

“Ia juga akan digerakkan untuk operasi menghadapi musim tengkujuh yang sudah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

TAMAT

Exit mobile version