Site icon Sabah Baru News

Hajiji saran kurangkan kos perumahan

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe mewakili dan menyampaikan ucapan teks Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempena Kongres Juruukur Antarabangsa Kali Ketujuh di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Pihak juruukur disaran supaya bekerjasama dengan semua pemain dalam industri bagi mencari jalan mengurangkan kos hartanah dan pembinaan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihak juruukur memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan Sabah terutamanya dalam industri hartanah dan pembinaan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan juruukur dan semua pemain dalam industri untuk bekerjasama mencari jalan penyelesaian bagi mewujudkan rantaian bekalan dan sistem penyampaian perumahan yang lebih cekap.

Katanya, langkah itu bagi mengurangkan kos pembinaan dan harga hartanah supaya golongan berpendapatan rendah turut mendapat manfaat.

“Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan lebih banyak rumah mampu milik disediakan untuk rakyat di negeri ini.

“Institusi Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Sabah yang mahir dalam pentadbiran tanah dan perancangan pembangunan perlu menyahut cabaran menggubal dasar perumahan yang mampan dan mampu milik bagi melengkapkan usaha kerajaan dalam bidang ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor .

“Matlamat saya sebagai Ketua Menteri Sabah bukan sahaja untuk mengemudi laluan pembangunan kita yang menggariskan aspirasi dan strategi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya berucap sempena Kongres Juruukur Antarabangsa Kali Ketujuh di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi memupuk Sabah yang bersatu, makmur dan inklusif dan bagi mencapai wawasan itu, ia memerlukan usaha dan gabungan semua pihak.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, tema untuk Kongres RISM tahun ini ‘Navigating the Future: Embracing Change and Transformation’ disifatkan sesuai dalam usaha membawa perubahan.

“Dalam dunia yang pantas berubah, kita tidak boleh leka demi mencapai matlamat untuk kita kekal berdaya saing, menerima perubahan dan transformasi menuju masa depan.

“Saya pasti, RISM mempunyai kapasiti untuk memimpin perkara ini dengan kepakaran dan sumber semua pihak yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, dunia tidak kekal statik dan perubahan tidak dapat dielakkan dengan banyak penemuan baharu yang membawa kepada kemajuan dan inovasi teknologi.

Beliau berkata, kebanyakan perubahan akan memberi kesan dalam mengubah gaya hidup, memodulasi citarasa dan pilihan peribadi, meningkatkan taraf hidup demografi, serta  cara semua orang bekerja.

“Justeru, untuk terus bertahan dalam persekitaran perniagaan yang sangat kompetitif, kita mesti belajar, menyesuaikan diri, menambah baik dan berubah supaya kita boleh menangani cabaran yang dihadapi dan memanfaatkan peluang yang datang,” katanya.

Hajiji berkata, kongres seumpama itu adalah platform terbaik untuk juruukur membincangkan cabaran dan peluang menerusi tinjauan yang lebih menyeluruh.

Beliau menyeru supaya menggunakan peluang berkenaan untuk belajar daripada penceramah melalui pengetahuan dan strategi perniagaan mereka untuk menerima pakai penyelesaian dan pandangan yang inovatif.

— TAMAT

Exit mobile version