Site icon Sabah Baru News

Jumlah pengundi meningkat mendadak di Keningau – Jeffrey

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah pengundi yang luar biasa di seluruh negeri termasuk di Parlimen Keningau memberi kejutan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu disedari selepas rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Maju Sabah (SAPP) mendedahkan terdapat peningkatan data jumlah pengundi seperti yang dicatat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau mendapati jumlah peningkatan luar biasa itu khususnya di Parlimen Keningau adalah melebihi 70 peratus.

“Angka pengundi di Parlimen Keningau adalah berjumlah 51,777 pada 2018 dan ia meningkat secara mendadak kepada 87,371 pada tahun ini menjadikan peningkatan sebanyak 70.7 peratus.

“Ini adalah amat luar biasa dan juga meragukan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Jeffrey yang juga penyandang kerusi Parlimen Keningau itu berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa jumlah Undi18 di kawasan berkenaan adalah kurang daripada 8,000.

“Adalah mustahil untuk kita boleh mencapai peningkatan sebanyak 30,000 dalam tempoh kurang dari lima tahun. Macam ada yang tidak betul,” katanya.

Sebelum itu, SAPP menggesa agar pihak berkuasa menyiasat lonjakan jumlah pengundi secara mendadak di negeri ini.

Siasata itu susulan jumlah daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR menunjukkan peningkatan pengundi baru sebanyak 53.9 peratus, iaitu daripada 1,064, 686 pada  2008 kepada 1,638,806 tahun ini.

EDITOR

Exit mobile version