Site icon Sabah Baru News

Nasib nelayan dibela menerusi Belanjawan 2024

Nasib nelayan di negara ini terus terbela dan menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan menerusi pelbagai insentif dan bantuan disediakan dalam Belanjawan 2024. – Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Nasib nelayan di negara ini terus terbela dan menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan menerusi pelbagai insentif dan bantuan disediakan dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.

Bantuan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan yang diumumkan ibarat talian hayat bagi golongan itu terutama dalam berdepan ketidaktentuan hasil tangkapan laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, langkah kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada nelayan menerusi belanjawan itu dapat membantu meringankan kos sara hidup serta kos penyelenggaraan peralatan asas seperti jaring dan pukat.

“Syukur kerana ia dapat membantu golongan memerlukan, apatah lagi ketika ini ada nelayan terpaksa berdepan ketidaktentuan hasil tangkapan yang semakin hari semakin berkurangan sehingga menjejaskan pendapatan.

“Selain itu, kebanyakan peralatan asas nelayan perlu diimport dari negara luar, sejak kebelakangan ini harganya semakin meningkat dan kebanyakan dalam kalangan kami terpaksa menggunakan duit elaun bulanan bagi menampung keperluan itu,” katanya kepada Bernama.

Nelayan dari Kampung Orang Asli Sungai Temon, Johor Bahru, Tony Dana, 50, berkata, dia menyokong usaha kerajaan mengekalkan subsidi kepada nelayan namun mengharapkan kerajaan meningkatkan kadar selari dengan beban kos sara hidup yang meningkat.

Katanya, sejak 2021 nelayan menerima elaun bulanan sebanyak RM300 berbanding RM250 sebulan pada 2020 dan elaun ini sangat-sangat membantu saya menampung keperluan terutamanya ketika membeli dan menyelenggara peralatan menangkap hasil laut,” katanya.

Dalam belanjawan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan akan mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun serta peruntukan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yassim Mohamed berkata, pengumuman pelbagai bantuan dan insentif untuk nelayan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib golongan itu.

“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bantuan yang diberikan sama rata dan tidak meminggirkan nelayan terutama di Terengganu walaupun berbeza ideologi politik… kami amat menghargai bantuan ini,” katanya.

Nelayan dari Kampung Pengkalan Maras, Kuala Terengganu, Mohamad Rizdwan Mohd Fauzi, 47, berhasrat menggunakan bantuan itu sebaik mungkin terutama sebagai simpanan musim ‘kecemasan’ untuk tempoh tiga bulan kerana tidak dapat turun ke laut sepanjang musim tengkujuh.

Sementara itu, Abdul Rahman Ali, 41, dari Kuala Kedah berkata, elaun dan insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 membantu meringankan beban mereka yang tidak berpendapatan tetap dan hanya bergantung kepada hasil laut.

“Nelayan yang hanya bergantung kepada hasil laut ini memang terkesan terutamanya apabila musim hujan berterusan dan lebih teruk sekiranya ribut melanda… bantuan diberikan kerajaan ini sekurang-kurangnya dapat menampung kos hidup ketika nelayan tidak boleh turun ke laut,” katanya.

Abdul Rahman berkata, hasil tangkapan nelayan juga tidak banyak seperti dahulu atas beberapa faktor dan ia menyebabkan pendapatan daripada hasil tangkapan tidak berbaloi dengan modal tinggi yang dikeluarkan mereka. – BERNAMA

AWANI

Exit mobile version