Site icon Sabah Baru News

Perkongsian kuasa perlu realistik, penganalisis beritahu Ewon

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir (kanan) berkata, presiden Upko Ewon Benedick (kiri) perlu ambil kira partinya hanya mempunyai satu kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah.

PETALING JAYA: Presiden Upko Ewon Benedick perlu praktikal dalam tuntutannya berkait perkongsian kuasa dalam pelantikan pemimpin akar umbi di Sabah oleh Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, Ewon perlu mengambil kira partinya hanya mempunyai satu daripada 79 kerusi DUN.

“Saya tidak bersetuju dengannya kerana tidak adil bagi GRS (dan) kerajaan bawah (ketua menteri) Hajiji Noor, memandangkan Upko hanya mempunyai satu kerusi,” katanya kepada FMT.

Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sambil menyifatkan ia permintaan “tidak wajar” dan “tidak logik”, Jeniri berkata, memenuhi permintaan Upko bagi perkongsian kuasa pada peringkat tempatan akan menimbulkan rasa tidak senang parti lain yang menyokong kerajaan negeri.

Minggu lepas, The Borneo Post memetik Ewon sebagai berkata, terdapat ahli Upko kononnya tidak gembira dengan pelantikan pemimpin akar umbi yang dikatakan tidak seimbang, terutama di kawasan tidak diwakili PH.

Beliau berkata, kerjasama antara GRS dan PH Sabah sepatutnya diterjemah dalam bentuk perkongsian kuasa, bermula dengan lantikan “ketua adat” di setiap daerah.

Upko merupakan komponen dalam PH, bersama PKR, DAP, dan Amanah.

Ewon berkata, beliau memperkenalkan “formula 60-40 perkongsian kuasa” di kawasan diwakilinya, iaitu Kadamaian.

“Saya harap formula perkongsian kuasa ini boleh menjadi contoh kepada Adun di kawasan lain kerana tanpa sokongan Adun PH, kerajaan Sabah tidak dapat dipertahankan,” katanya.

Jeniri berkata, jika mahu dilaksanakan, langkah perkongsian kuasa seumpama itu hanya boleh dilakukan di kawasan di mana Upko boleh menunjukkan ia menerima sokongan kuat pada peringkat akar umbi.

“Saya tidak menafikan hakikat bahawa sokongan (Upko) penting (untuk kerajaan diterajui GRS Sabah), namun pada masa sama mereka perlu realistik,” katanya.

Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, formula dicadangkan Ewon itu bagus, tetapi memerlukan persetujuan semua parti terlibat.

“Sudah tentu beliau perlu sedaya mungkin berjuang untuk hak dan nasib partinya, namun ada perkara perlu dilakukan secara bersama. Itulah makna sebenar perkongsian kuasa,” katanya.

Lee berkata, kebanyakan lantikan akar umbi dibuat sebelum PH menyokong GRS dalam pembentukan kerajaan perpaduan, justeru menamatkan lantikan sedia untuk memberi peluang kepada Upko juga tidak kena pada tempatnya.

Beliau berkata, jawatan seperti “ketua adat” bukan bertujuan mewakili parti politik, sebaliknya perlu mewakili semua pihak tanpa mengira ideologi politik.

‘Ainin Wan Salleh 

Exit mobile version