Site icon Sabah Baru News

Guru besar penentu kecemerlangan sekolah – Nizam

PENGHARGAAN: Nizam menyampaikan sijil penghargaan kepada Bendahari Kehormat PGBM, Daerah Tawau Hajah Sabturia Isdup.

TAWAU: Guru besar perlu mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi serta berjiwa besar supaya dapat menjadi contoh kepada semua warga di sekolah mereka.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, guru besar adalah pemimpin dalam menyokong dan memastikan kejayaan pelaksanaan di peringkat sekolah.

Katanya, kepimpinan yang tinggi dalam kalangan guru besar sangat diperlukan untuk mengurus dan mentadbir sekolah bagi melahirkan generasi atau murid yang berkualiti.

“Guru besar haruslah berpandangan jauh, proaktif dan berani melakukan perubahan demi kepentingan serta masa depan murid mengikut kesesuaian zaman.

“Mereka juga perlu membimbing dan berusaha melonjakkan pencapaian sekolah sehingga ke perinkat yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru Besar Malaysia, Daerah Tawau, di sini hari ini.

Menurutnya, dalam menentukan keberkesanan dan kejayaan sesebuah sekolah, kepimpinan guru besar yang selalu dijadikan fokus utama oleh mesyarakat.

“Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ibubapa menaruh kepercayaan yang tinggi kepada pentadbiran dan warga pendidik di sekolah.

“Justeru, guru besar harus merancang dengan teliti struktur tugasan dalam organisasi sekolah dan menjaga hubungan baik dengan semua warga pendidik,” katanya.

Nizam turut menzahirkan tahniah kepada semua guru besar di daerah ini kerana berjaya melonjakkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau menjadi yang terbaik di Sabah.

“Pencapaian dan prestasi pendidikan khususnya di sekolah rendah cukup memberangsangkan sama ada dari segi akademik mahupun kokurikulum.

“Saya berharap prestasi ini dapat diteruskan dan dipertingkat supaya nama PPD Tawau dikenali bukan sahaja di Sabah, tetapi di peringkat kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua guru besar supaya mengambil iktibar dengan kejadian yang membabitkan seorang warga pendidik sehingga didakwa di Mahkamah baru-baru ini.

“Kes itu menjadi tamparan hebat terhadap semua warga pendidik kerana golongan ini sepatutnya menjadi suri teladan yang baik kepada masyarakat.

“Saya berharap semua guru besar memainkan tanggungjawab bagi memastikan warga pendidik mempunyai akhlak dan disiplin yang baik serta boleh menjadi contoh kepada murid sekolah,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version