Site icon Sabah Baru News

Pulangkan hak minyak dan gas – Jeffrey

Jeffrey berkata walaupun peruntukan lebih tinggi untuk Sabah di bawah bajet negara 2024, layanan kerajaan Madani terhadap Sabah dan Sarawak nampak sama seperti kerajaan terdahulu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengembalikan hak pemilikan minyak dan gas kepada Sabah dan termasuk Sarawak, Terengganu dan Kelantan, bukannya hanya memberikan lima peratus royalti setiap tahun, menurut Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1976, semua deposit gas dan minyak di negeri pengeluar minyak adalah milik Petronas dengan negeri berkaitan hanya menerima 5 peratus sebagai royalti, walaupun sebelum ini mereka menerima 12 peratus daripada Shell.

Jeffrey juga menggesa kerajaan Madani menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji dan meneliti cadangan untuk menjadikan Sabah sebuah negeri bebas cukai.

“Ini akan membolehkan Sabah menggantikan Hong Kong dan Singapura sebagai hab ‘pelancong membeli-belah’ bersama Taman Tema Pelancongan dengan kasino sampingan yang menarik pelancongan keluarga dari seluruh dunia,” katanya, semasa perbahasan parlimen, Selasa.

Seterusnya, katanya, bagi merangsang ekonomi Sabah, Kerajaan perlu antara lain memperuntukkan dana yang mencukupi untuk pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo secepat mungkin serta mengisytiharkan Pelabuhan Sepanggar Kota Kinabalu sebagai “Pusat Muatan Negara Kedua”.

“Biar kerajaan Sabah dan Sarawak menentukan sendiri pertumbuhan dan nasib masa depan mereka dengan dasar mereka sendiri termasuk insentif cukai dan pada masa sama menjana ekonomi dan hasil yang boleh memperkayakan kerajaan persekutuan,” katanya.

Jeffrey berkata walaupun peruntukan lebih tinggi untuk Sabah di bawah bajet negara 2024, layanan kerajaan Madani terhadap Sabah dan Sarawak nampak sama seperti kerajaan terdahulu.

Beliau berkata Sabah diperuntukkan RM6.6 bilion dan Sarawak RM5.8 bilion, berjumlah RM12.4 bilion daripada jumlah RM90.1 bilion, iaitu hanya 13.76 peratus bagi Sabah dan Sarawak manakala Malaya mendapat 86.24 peratus atau RM77 .7 bilion.

“Agihan peruntukan pembangunan sebanyak RM12.4 bilion atau hanya 13.76 peratus menunjukkan layanan kerajaan Madani sama seperti kerajaan terdahulu yang meminggirkan Sabah dan Sarawak. Ini tidak akan membantu membangunkan Sabah Sarawak.

“Penduduk Borneo menggesa agihan sebegini diubah supaya lebih adil dan bermakna kepada Sabah dan Sarawak yang mundur, miskin tetapi berpotensi besar,”Jeffrey berkata Sabah dan Sarawak mundur dalam banyak aspek dan menyebut aduan dan rungutan yang disampaikan kepada Agong dan Raja Permaisuri Agong Permaisuri semasa jelajah Borneo mereka baru-baru ini.

Oleh itu, sebarang pengagihan yang kurang daripada nisbah 50:25:25 tidak akan membolehkan Sabah dan Sarawak mengurangkan jurang dengan Tanah Melayu.

“Sebagai contoh, daripada RM90.1 bilion, jika kurang daripada RM45 bilion untuk Sabah Sarawak, ia hanya akan menambah kekecewaan rakyat Sabah Sarawak,” katanya.

Jeffrey bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2024 terbesar iaitu RM393.8 bilion atau RM5.8 bilion lebih daripada 2023.

— Jozie John

Exit mobile version