Site icon Sabah Baru News

Kerajaan Negeri komited banteras jenayah siber – Hajiji

Ketua Menteri berharap negara lain yang telah mengeluarkan nasihat perjalanan akan mengambil petunjuk daripada keputusan kerajaan UK.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi berkaitan dalam membanteras jenayah siber terutamanya jenayah kewangan dan scam yang masih mencatat peningkatan ketara di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPK) Sabah, jumlah kes jenayah siber yang berlaku di Sabah menunjukkan tren peningkatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, bagi tempoh tahun 2020 sehingga September 2023, sejumlah 4,687 kes dilaporkan, yang melibatkan jenis kesalahan seperti phone scam, love scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan, belian online dan akta jenayah komputer, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM100,087,125.10.

“Daripada 4,687 kes, sebanyak 1,069 kes jenayah siber dilaporkan berlaku pada tahun 2020. Manakala 1,169 kes pada tahun 2021; 1,206 pada tahun 2022 dan sebanyak 1,243 kes setakat Januari sehingga September tahun ini. 

“Dalam tempoh itu, jenis kesalahan tipu belian online merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,823 kes, diikuti oleh phone scam sebanyak 1,122 kes, pinjaman tidak wujud sebanyak 817 kes, pelaburan (603 kes), love scam (158 kes) dan kesalahan dibawah akta jenayah komputer sebanyak 164 kes,” katanya di majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Sepanggar, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya. 

Hajiji berkata, kes jenayah siber dan kesalahan dibawah Akta Jenayah Komputer di Sabah telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM24,885,763.50 pada tahun 2020, manakala bagi 2021 adalah sebanyak RM25,427,844.42 dan RM21,749,610.61 pada 2022. 

Katanya, sepanjang bulan Januari sehingga September tahun ini pula, jumlah kerugian direkodkan sebanyak RM28,023,906.57.

“Jumlah ini agak membimbangkan, justeru saya menggesa rakyat Sabah khususnya pengguna Internet untuk tampil membuat laporan berkaitan insiden scam dan penipuan dalam talian yang dialami. 

“Laporan yang dibuat adalah sangat penting bagi membantu pihak berkuasa membuat analisa trend penjenayah termasuk scammer serta membangunkan langkah-langkah pencegahan yang wajar untuk melindungi orang ramai dari terus menjadi mangsa,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version