Site icon Sabah Baru News

Hasilkan produk makanan halal Sabah untuk pasaran global

RASMI: Kadzim mewakili Hajiji merasmikan SAHEX dan Karnival Baurung-Urung di SICC di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri harapkan lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal yang bukan sekadar untuk pasaran tempatan, malah ke peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah memiliki pelbagai produk makanan yang boleh diketengahkan oleh usahawan tempatan hingga ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun pembabitan usahawan termasuk perindustrian mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun penambahan bilangan usahawan itu masih perlu dipergiat.

“Kita mahu melihat pembabitan lebih ramai usahawan dalam bidang produk makanan halal di Sabah. 

“Usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya expo halal yang diadakan untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan,” katanya pada Majlis Perasmian Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung- Urung di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini.

Teks ucapannya dibacakan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M.Yahya.

Hajiji berkata, kerajaan mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangkakan mencapai jumlah USD2.4 trilion pada 2024.

Katanya, keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Majlis Halal Sabah (MAHAS) yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan isu-isu halal serta mencadang langkah baharu bagi membangun industri halal di negeri ini.

“Peranan semua pihak penting dalam pengurusan halal, jabatan dan agensi yang terlibat memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkasa aspek pensijilan halal khususnya kepada PMKS.

“Usaha ini penting agar PMKS juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di negeri ini,” katanya.

Melalui usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, beliau berharap Expo Halal Sabah akan memantapkan lagi kefahaman Pensijilan Halal Malaysia kepada pemain industri dan pengunjung expo.

“Expo ini juga dapat menjalin jaringan kerjasama pemain-pemain indusrti halal di dalam dan luar negara, di samping memperkenalkan produk-produk halal buatan tempatan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang Karnival Baurung-Urung, Hajiji berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran karnival itu bagi memupuk maufakat dan sikap toleransi dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di negeri ini.

Beliau berharap Karnival Baurung-Urung antara khazanah budaya negeri ini yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, masyarakat Brunei yang memiliki pelbagai khazanah seni budaya dan adat resam, boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan.

“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan. Karnival seumpama ini perlu dipromosikan sebagai salah satu produk untuk meningkatkan sumber pendapatan pelancongan negeri Sabah,” katanya.

–Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version