Site icon Sabah Baru News

Speaker DUN diminta sedia platform tuntut hasil Sabah: Masiung

Ketibaan Datuk Masiung Banah disambut oleh ketua Bahagian Datuk Paul Chistopher Darisok (kanan) dan ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim (kiri) ketika beliau hadir untuk menyempurnakan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Limbahau tidak lama dulu.

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) diminta supaya menyediakan platform bagi menuntut bayaran hasil Sabah 40 peratus ‘secara berkala’ yang dikutip kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Speaker DUN Sabah perlu mempunyai agenda tuntutan berkenaan untuk dibahaskan pada persidangan hujung tahun ini.

Katanya, jika Putrajaya sukar untuk memulangkan serentak bayaran 40 peratus dalam tempoh setahun, pada dasarnya DUN Sabah boleh mengesyorkan mekanisme dibuat secara berkala.

“Perkara itu bagi memudahkan akses Putrajaya melaksanakan bayaran balik hasil Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita beri kelonggaran kepada kerajaan Persekutuan, sama ada bayaran berkenaan dibuat tiga atau empat kali dalam setahun sehingga mencapai angka 40 peratus,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kesal kerana Putrajaya sengaja melengahkan tuntutan itu sehingga rakyat Sabah terpaksa menanti selama 60 tahun.

“Kegagalan kerajaan Persekutuan mengembalikan hasil 40 peratus itu akan menimbulkan kemarahan rakyat Sabah.

“Ia sekali gus menimbulkan persepsi bahawa pemimpin kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh terhadap tuntutan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu kerajaan Persekutuan telah mengaut keuntungan sebanyak RM41 bilion dari hasil minyak dan cukai Kastam Sabah.

“Jumlah itu, tidak termasuk hasil kutipan dari agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat ladang sawit dan pelabuhan,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version