Site icon Sabah Baru News

Wanita adalah penentu kerajaan : Jeffrey

KENINGAU: Peranan wanita amat penting dan mereka boleh menentukan siapa kerajaan dan siapa wakil rakyat kerana pengundi wanita di Sabah tidak kurang daripada 50%. Berdasarkan kepada data yang diperolehi peratusan pengundi menunjukkan Tenom 60%, Keningau 50% dan Pensiangan 54%.

Timbalan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Wanita GRS Zon 4 yang berlangsung di Dewan SM Ken Hwa, kelmarin.

Zon 4 mempunyai empat Ahli Parlimen dan sebelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.

“Peranan wanita bukan hanya dalam pilihanraya tetapi apa jua bidang pun mempunyai kelebihan, kerana wanita sebenarnya adalah pengurus semulajadi , ‘natural leader and manager’, “ katanya.

Jelasnya kelebihan wanita dalam pengurusan dapat dilihat dalam menangani hal-hal keluarga seperti ekonomi, dapur, suami dan anak-anak.

“Wanita amat penting kerana mereka bukan sahaja ramai tetapi ada kelebihan. Bila diberi tanggunjawab mereka komited dan fokus kepada tanggungjawab tersebut.”

Beliau turut memperingatkan bahawa kesatuan adalah kekuatan Wanita GRS dan menjadi penentu kemenangan.

Sementara itu GRS memberi peluang lebih ramai wanita menjadi calon Ahli Parlimen, dan menteri penuh.

Menurutnya kemenangan wanita akan menjadi kekuatan GRS untuk menuntut hak-hak Sabah di parlimen.

Sabah dan Sarawak hanya menduduki 25% daripada 222 kerusi parliman dan tidak mempunyai kekuatan untuk menentang atau mempertahankan sebarang perubahan perlembagaan yang boleh menyingkirkan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu kembalikan kuasa dan kekuatan kita di parlimen sekurang-kurangnya 35% daripada 222 kerusi parlimen. Kita perlu parti kuat seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS ) di Sarawak barulah kita ada impak untuk menuntut apa yang patut dituntut dan diperolehi,” katanya

Jeffrey menegaskan bahawa untuk mencapai kemenangan besar dan lebih banyak kerusi, sokongan dan peranan wanita dalam politik amat diperlukan.

Bersama-sama dalam majlis ialah Ketua Wanita GRS Sabah Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Binti Mohd Dun, Ketua Penyelaras Wanita GRS Zon 4 Datuk Flovia Ng, Presiden-Presiden Parti Komponen GRS, Ahli-ahli Majlis Tertinggi GRS, Ketua-ketua Wanita komponen GRS, Ketua-ketua Penyelaras Wanita GRS Zon 4 dan para jemputan.

-TAMAT

Exit mobile version