Site icon Sabah Baru News

Malam Cinta Gaza berlangsung dengan jayanya

Ceramah yang diadakan sempena Malam Cinta Gaza kata Ruslan bukan sahaja dapat memberi gambaran kepada umat mengenai situasi sebenar tetapi juga secara tidak langsung mampu mengajak seluruh umat supaya terus menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

BEAUFORT: Malam Cinta Gaza yang diadakan sempena Program Belia Sayang Kampung anjuran Majlis Belia Sabah (MBS) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) baru-baru ini telah berlangsung dengan jayanya.


Acara yang diadakan di perkarangan Masjid Al Ittihad Kg Lupak itu telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.


Penduduk setempat termasuk golongan belia kelihatan memenuhi ruang-ruang disediakan di perkarangan masjid Al Ittihad Kg Lupak bagi mengikuti Malam Cinta Gaza yang diadakan pada sebelah malam.


Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dalam ucapannya memuji usaha pihak penganjur kerana bukan sahaja telah berjaya merancang dengan baik tetapi juga berjaya melaksanakan dengan lancar dan teratur.

Ceramah yang diadakan sempena Malam Cinta Gaza kata Ruslan bukan sahaja dapat memberi gambaran kepada umat mengenai situasi sebenar tetapi juga secara tidak langsung mampu mengajak seluruh umat supaya terus menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Justeru Ruslan mengajak umat Islam supaya terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin sepanjang masa selain mendoakan saudara-saudara muslim agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.


Pada masa sama beliau turut meminta rakyat supaya mensyukuri kehidupan di negara ini dan berpesan supaya semua terus memelihara ukhuwah yang sedia terjalin bagi memastikan Malaysia terus menjadi contoh kepada keutuhan perpaduan.

Pengerusi Tetap MBS, Mazlan Joehari Manan ketika ditemui menzahirkan berbanyak terima kasih kepada penduduk setempat serta para belia atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran Malam Cinta Gaza yang diadakan itu.


Menerusi sokongan yang dizahirkan penduduk dan belia setempat dalam penganjuran itu, beliau berkeyakinan program seumpama itu boleh dilaksanakan lagi di masa hadapan kerana ia berupaya membawa impak yang cukup signifikan.

Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang program Belia Sayang Kampung yang diadakan di Kg Lupak sehingga acara terakhir selesai.


Beliau juga berharap penglibatan belia sepanjang program itu berupaya meningkatkan keyakinan diri selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan sosial dalam komuniti yang dilihat dapat memberi kesan yang positif terhadap masyarakat umum.


Pada Malam Cinta Gaza itu, Ruslan menyampaikan sumbangan daripada Pejabat ADUN Lumadan berjumlah RM2,000 kepada Aman Palestin.


Aman Palestin turut menerima sumbangan RM1,000 masing-masing daripada Gabungan Persatuan Belia Pedalaman Bawah dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan yang disampaikan Mazlan sebagai Pengerusi Gabungan dan juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lumadan.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version