Site icon Sabah Baru News

Program sukan komitmen kerajaan lahir atlet bertaraf antarabangsa – Hajiji

KENANGAN: Para penerima anugerah merakamkan kenangan bersama Juhar ,Joachim dan tetamu jemputan lain.

KOTA KINABALU: Penganjuran program sukan di negeri ini bukti kerajaan negeri sentiasa komited ke arah melahirkan lebih ramai atlet ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, seiring dengan komitmen itu, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan negeri akan terus melipatgandakan usaha serta memperkasakan lagi program-program pembangunan sukan negeri.

Katanya, usaha itu bagi memastikan program yang dianjurkan serta para atlet berada di landasan yang tepat, sekali gus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Kerajaan memperuntukkan RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan, penaiktarafan kemudahan sukan dan penyelidikan sains sukan untuk tahun ini. Ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sabah kepada kemajuan sukan dan pembangunan belia di negeri ini. 

“Kita mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan yang hebat yang akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara.

“Saya berharap anugerah dan pengiktirafan yang diberikan pada malam ini akan menjadi pencetus semangat kepada pelapis dalam kalangan atlet muda negeri, yang berpotensi untuk terus digilap bagi melakar kejayaan demi kejayaan yang boleh kita banggakan,” jelasnya.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021-2022 di sini semalam. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni menjadi tetamu kehormat majlis itu. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan. 

Hajiji berkata, atlet-atlet negeri ini diharap terus berusaha dengan gigih untuk meraih lebih banyak pingat, terutamanya pingat emas, dalam setiap penganjuran sukan yang disertai pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan jumlah hadiah kemenangan untuk semua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021/2022 kali ke-30 ini.

“Diharapkan dengan kenaikan jumlah insentif dan hadiah kemenangan ini mampu menyuntik semangat atlet dan penggiat sukan untuk terus berjuang mencipta kejayaan dan kecemerlangan pada masa akan datang.

“Seperti yang kita semua tahu, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara ini, menjadi titik hitam dan menjejaskan banyak sektor termasuklah aktiviti kesukanan. 

“Pandemik turut mengakibatkan pembatalan beberapa penganjuran acara sukan peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia di Johor pada 2020 dan penganjuran bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020. 

“Penganjuran Anugerah Sukan Negeri Sabah bagi 2019-2020 turut terkesan sehingga penganjurannya terpaksa dibatalkan dan tidak dapat diteruskan,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor .

Namun jelasnya, perkara itu tidak mematahkan semangat juang atlet-atlet, jurulatih dan seluruh penggiat sukan tanah air untuk terus mencapai kejayaan dalam sukan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menekankan pembangunan sukan orang kelainan upaya (OKU) atau atlet para di negeri ini, yang turut mencipta kejayaan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Apa yang lebih menggembirakan sukan ini membuahkan hasil apabila Sukan Para berjaya mencapai lebih 40 pingat emas dan muncul sebagai juara di Para SUKMA di Kuala Lumpur pada 2021.

“Pencapaian cemerlang atlet para tidak terhenti di situ sahaja, malah berjaya menempatkan tiga atlet para negeri ini beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjurkan pada 2021,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap atlet sukan para akan terus mencipta kejayaan dari semasa ke semasa baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mahu atlet negeri ini juga bukan saja berjaya dalam sukan malah turut cemerlang dalam akademik mereka.

Pada majlis itu, Wartawan Sukan The Borneo Post Lester Bingkasan menerima anugerah bersama dua lagi pengamal media iaitu Wartawan Sin Chew Daily Angela Tan serta Wartawan RTM Mohd Syafif Syahiran Danny.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version