Site icon Sabah Baru News

Hajiji tekun membangun Sabah, pembangkang sibuk menabur fitnah

Hajiji berkata, kerajaan negeri sangat komited bagi memastikan pelaburan di Sabah berjalan dengan lancar.

HARI Selasa lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor merasmikan majlis pembukaan besar-besaran kilang Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernilai RM3 bilion, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Kilang itu merupakan antara pelaburan terbesar diterima Sabah. 

Selain memacu pertumbuhan ekonomi negeri, ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Kira-kira 1,100 atau lebih 80 peratus daripada 1,300 pekerjanya adalah rakyat Sabah.

Tidak syak lagi, pelaburan berimpak tinggi oleh Kibing Group itu menyerlahkan kejayaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digariskan kerajaan negeri selepas mengambil alih teraju pemerintahan negeri pada 2020.

Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan negeri dan pimpinan Hajiji membangunkan Sabah serta memakmurkan rakyatnya. Ia adalah manifestasi keberhasilan usaha pembangunan yang digerakkan sepanjang tiga tahun ini.

Menerusi visi bersama yang didukung sektor awam, swasta dan komuniti, Sabah sememangnya boleh meluncur maju dengan syarat jangan ada gugatan dan gangguan daripada mana-mana pihak.

Ini kerana politiking keterlaluan akan membawa ketidakstabilan yang akhirnya menakutkan pelabur.

Sementara Hajiji komited untuk memastikan pelaburan di Sabah bergerak selancar mungkin, sokongan semua pihak sangat penting demi menentukan hala tuju pembangunan yang dirancangkan dapat dijayakan.

Bagi menarik pelaburan ke negeri ini, kerajaan negeri sudah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk memudah dan memperkemaskan proses pelaburan. Pasukan petugas itu diwujudkan untuk menyediakan sokongan dan bimbingan komprehensif, serta persekitaran yang kondusif untuk pelabur.

Secara spesifik, Hajiji menyifatkan pengoperasian oleh kilang Kibing Group dalam tempoh kurang 24 bulan selepas pemeteraian perjanjian itu, adalah manifestasi kejayaan Hala Tuju SMJ yang diperkenalkannya.

Beliau amat menghargai pelaburan yang dibawa Kibing Group kerana ia membawa banyak tempias kepada negeri, termasuk dari segi peluang pekerjaan, inovasi dan lebih penting kesejahteraan hidup rakyat.

Hajiji mengimbas kembali lawatannya ke kilang kaca pertama Kibing di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan dua tahun lepas susulan jemputan daripada Pengerusi Kumpulan Kibing, Yu Qi Bing dan Presiden, Datuk Lim Swee Ee.

Pengerusi Yu memaklumkan kepadanya bahawa kumpulan itu berminat untuk menubuhkan kilang pembuatan kaca solar inovatif yang canggih di Sabah.
“Hari ini, projek itu telah menjadi kenyataan. Terima kasih kepada rakan pelaburan China yang dihormati, Kibing Group, atas keyakinan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi,” demikian ungkapan Hajiji dalam ucapannya pada majlis itu.

Di sebalik kegigihan dan ketekunan Hajiji membangun negeri, ada pula agas-agas politik dan pembangkang yang sibuk menabur pelbagai kritikan, tuduhan dan fitnah semata-mata menidakkan usaha yang cuba dibawa bagi mensejahterakan rakyat.

Mutakhir ini bermacam kritikan kedengaran, pelbagai tuduhan dihamburkan mengenai isu-isu sejagat yang tujuannya adalah untuk `political mileage’ pada ketika angin bertiup tentang kebarangkalian pilihan raya negeri ke-16 diawalkan.

Biarpun kini tempoh pemerintahan kerajaan negeri masih berbaki kira-kira dua tahun, namun para politikus mulai menjaja pelbagai teori dan perkhabaran mengenai angin pilihan raya negeri.

Namun, seperti sering ditegaskan Hajiji dalam siri program lawatan ke serata daerah, kerajaan negeri komited menunaikan amanah dan tanggungjawab membela nasib rakyat yang telah memberi mandat dalam pilihan raya lepas.

Sebab itu, beliau terus berusaha melaksana agenda pembangunan sebagaimana tertulis dalam Hala Tuju SMJ tanpa menghiraukan konotasi-konotasi nakal yang cuba dijaja oleh seteru politiknya.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Hajiji terus melangkah ke hadapan bersama barisan kepimpinan kerajaannya, seiring matlamat menjadikan Sabah Maju Jaya!.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.
Exit mobile version