Site icon Sabah Baru News

SHAREDA akan bina rumah mampu milik atas tanah kerajaan – Hajiji

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Majlis Shareda Nite di Magellan Sutera Harbour semalam.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan menyediakan sebidang tanah kepada Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) untuk membina rumah mampu milik kepada golongan B40 serta M40 di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, SHAREDA perlu sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kita akan mempertimbangkan untuk menyediakan tanah kerajaan di Sepanggar untuk dibangunkan oleh SHAREDA.

“Tetapi dengan syarat bahawa rumah-rumah ini menawarkan harga yang mampu dimiliki oleh golongan B40 dan M40, kerana mereka yang akan menikmati kemudahan ini.

“Ini juga komitmen kerajaan untuk melihat perkembangan industri hartanah di Sabah,” katanya ketika berucap di Malam SHAREDA di sini, semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor .

Teks ucapannya beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglim Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mengutamakan menyediakan rumah kepada rakyat berpendapatan rendah, selari dengan pelaksanaan Rumah Mesra SMJ bernilai RM125.6 juta di kesemua 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji juga menghargai usaha SHAREDA yang sering mengutarakan isu berkaitan industri, kemas kini syarat dalam Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), cadangan pegangan pajakan 99 tahun boleh diperbaharui pada bila-bila masa, melaksanakan inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia (i-Miliki) iaitu pendekatan sama seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Hajiji memberikan jaminan bahawa enakmen berkaitan akan dibentangkan pada sidang DUN khusus untuk isu SMM2H.

“Saya mengulangi apabila SMM2H dilancarkan, kerajaan menjangkakan menerima lebih banyak pelaburan, kepakaran dan bakat yang akan manfaatkan Sabah.

“Program SMM2H dengan input daripada pelbagai pemegang taruh termasuk SHAREDA telah menjadi pemudah cara untuk menarik lebih ramai pelabur asing untuk berhijrah dan tinggal di Sabah,” katanya.

Hajiji juga setuju membenarkan pembeli Bumiputera menjual aset mereka tanpa sebarang penanguhan agar mereka menerima manfaat jualan hartanah kepada pembeli tempatan atau antarabangsa.

Menurutnya, perbincangan isu berkenaan sudah dilakukan dengan Presiden SHAREDA Datuk Chua Soon Ping untuk membenarkan had tempoh penjualan lot Bumiputra yang kini lima tahun kepada sifar tahun untuk semua pembangunan di Sabah.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk mengambil tindakan sewajarnya. Pemilik Bumiputera juga akan terus menikmati diskaun lima peratus untuk lot Bumiputera,” katanya

Katanya, kerajaan negeri juga komited untuk menyokong bangunan berteknologi hijau dan menggalakkan lebih banyak pemaju di Sabah membina projek mereka berdasarkan syarat inisiatif hijau.

“Industri berkenaan kini diguna pakai di seluruh dunia dan mahu kerajaan negeri turut menguna pakai pedekatan itu,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version