Site icon Sabah Baru News

Sekolah harus patuh SOP ditetapkan sekiranya melaksanakan Minggu Solidariti Palestin – Arifin 

BERARAK: Arifin diiringi Daud dan tetamu jemputan lain berarak menuju ke Masjid Nurul Hidayah Pekan Bongawan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Membakut.

BONGAWAN: Sekolah-sekolah di Sabah yang ingin melaksanakan Minggu Solidariti Palestin disaran supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif yang juga Exco Pendidikan Sabah, yakin sekolah-sekolah sudah diberikan panduan untuk melaksanakan program itu.

“Kita menggalakkan program ini kerana sangat baik. Ia diyakini sebab mampu menyemai rasa kemanusiaan dalam kalangan pelajar dan juga nilai kasih sayang dan menghindari daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan nilai kemanusiaan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Membakut di Masjid Nurul Hidayah Pekan Bongawan.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusuf dan Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.

Walaupun Sabah tidak diwajibkan untuk melaksanakan program itu, Arifin yang juga ADUN Membakut menjelaskan, program itu juga sesuai dengan slogan ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan diperingkat Persekutuan.


“Madani adalah tamadun, tamadun ialah akhlak dan tamadun itu kasih sayang dan nilai-nilai kemanusiaan.


“Oleh itu mana-mana sekolah yang ingin laksanakan program itu, kita alu-alukan yang penting mematuhi  garis panduan yang telah ditetapkan KPM, ” katanya.


Baru-baru ini, KPM menerusi satu surat memaklumkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober, sebagai tanda kebersamaan warga KPM dalam menyokong nilai kemanusiaan sejagat.

 
Program itu melibatkan semua institusi pendidikan di bawah KPM iaitu sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru seluruh negara.

Pelaksanaan program itu bagaimanapun mendapat banyak kritikan daripada pelbagai pihak yang rata-rata tidak bersetuju kerana ia melibatkan pelajar sekolah.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version