Site icon Sabah Baru News

Ruslan salur peruntukan ADUN bina dewan terbuka Klinik Kesihatan Padas Damit

ALBUM: Sebahagian petugas di Klinik Kesihatan Padas Damit bersama masyarakat setempat merakamkan gambar kenangan bersama Ruslan sempena majlis itu.

BEAUFORT: Sebanyak RM200,000 diperuntukkan daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam bagi membina sebuah dewan terbuka di Klinik Kesihatan Padas Damit dekat sini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, pembinaan itu bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung terutama pesakit luar yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.


Katanya, projek pembinaan dewan terbuka di Klinik Kesihatan Padas Damit yang berukuran 50×80 itu telah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan Disember ini.


“Dengan adanya kemudahan dewan terbuka ini ia tentunya akan memberi keselesaan kepada orang ramai terutama pesakit luar yang datang untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik ini.

“Dewan ini akan dilengkapi dengan pendawaian, beberapa kipas dan lampu bagi memberi keselesaan sementara menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan di klinik ini.

“Selain dijadikan sebagai tempat menunggu untuk pesakit, dewan ini juga boleh dijadikan tempat untuk melaksanakan program kesihatan dan lain-lain aktiviti bermanfaat nanti.


“Saya harap orang ramai dapat bersabar sementara menunggu dewan terbuka ini siap sepenuhnya nanti. Mudahan ia dapat memberi manfaat seperti yang diharapkan apabila siap nanti sekaligus dapat menampung jumlah peningkatan pesakit ke klinik ini, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas melakukan gimik perasmian majlis pecah tanah bagi membina dewan terbuka di Klinik Kesihatan Padas Damit, hari ini.


Difahamkan Hospital Beaufort ketika ini sedang dalam proses menaiktaraf dan sebahagian pesakit luar dirujuk untuk mendapatkan khidmat di Klinik Kesihatan Padas Damit pada ketika ini.


Dengan adanya dewan terbuka hasil peruntukan ADUN Lumadan, ia diyakini dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi juga pesakit luar yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

–Kenneddy Corlleus

Exit mobile version