Site icon Sabah Baru News

Pelabur China dijemput teroka konsep Ekonomi Biru – Hajiji

CEMERLANG: Prof Dato Sri Dr Mike K.S Chin yang berasal dari Penampang menerima anugerah World Chinese Wellness Entreprenuership Leadership, sambil disaksikan Hajiji (dua kanan).

SHENZHEN: Pelabur China dijemput untuk meneroka konsep Ekonomi Biru dengan kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan konsep ini yang memerlukan penggunaan sumber laut secara mampan bagi pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.

“Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, dengan lebih 1,000 kilometer untuk penternakan ikan dan hasil laut lain. Terdapat potensi besar di kawasan ini bagi perkongsian menang-menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Futian Shangri-La, Shenzhen China, semalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru pada Februari depan tahun.

Menurutnya, pelabur China perlu mempertimbangkan sektor tenaga, merangkumi sumber bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.

“Dengan melabur dalam sektor tenaga, anda memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan kuasa yang berterusan, pada masa sama kepada sektor tenaga yang lebih mampan. 

“Walaupun minyak dan gas akan menyediakan pendapatan ekonomi yang utama kepada Sabah, kami juga mengalu-alukan pelabur untuk meneroka tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro, geoterma, dan peluang pasaran karbon di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah juga menyediakan banyak peluang pelaburan dan perniagaan dalam sektor minyak dan  gas.

Katanya, industri berkenaan semakin berkembang pesat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan negeri juga berjaya berunding untuk mendapatkan hak mengawal pengeluaran dan bekalan minyak serta gas yang lebih besar dengan PETRONAS.

“Pegangan Sabah dalam sumber minyak dan gas akan terus meningkat dengan lebih banyak sumber telaga pada masa depan. 

“Terdapat potensi besar untuk pelaburan dan peluang perniagaan selanjutnya dalam sektor hiliran dan perkhidmatan sokongan,” katanya.

Hajiji berkata, pelabur China juga harus mempertimbangkan peluang pelaburan dan perniagaan dalam membangunkan hotel lima bintang, pusat peranginan dan produk pelancongan mewah serta membangunkan perniagaan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (M.I.C.E).

“Sekarang keadaan sudah kembali normal dalam industri pelancongan, kerajaan Sabah telah melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah. Jarak perjalanan antara China ke Sabah hanya memakan masa tiga sehingga lima jam sahaja.

“Sabah kini dihubungkan dengan bandar-bandar utama di China seperti Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou dan Macau.

“Sejumlah 63 penerbangan mingguan dengan kapasiti 11,360 tempat duduk. Kami berharap dapat melihat lebih banyak rangkaian udara dapat diperkasakan untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelancong China ke Sabah,” katanya.

Beliau mendedahkan kerajaan Sabah juga sedang giat mengusahakan strategi untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, seperti pembangunan Taman Budaya Sabah dan pengenalan Program ‘Sabah My Second Home’.

Hajiji juga secara peribadi mengalu-alukan pelabur untuk membincangkan penubuhan industri baharu.

“Kerajaan Sabah bersedia untuk melihat dasar yang dibuat khusus untuk industri baharu kepada pelabur yang sesuai,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version