Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat dalam dinamika dan naratif politik Sabah

Hajiji ketika ditemui oleh wakil-wakil media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat, di Kota Kinabalu pada Jumaat lepas.

BEBERAPA hari lagi, lebih 2,000 pemimpin dan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan berkampung di Bandaraya Kota Kinabalu, sempena persidangan agung tahunan parti itu yang dijadualkan pada Isnin (13 November).

Mereka terdiri daripada perwakilan dan pemerhati, termasuk daripada sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Beliawanis, dari 73 bahagian seluruh Sabah dan satu bahagian dari Labuan.

Ini merupakan persidangan agung tahunan pertama Gagasan Rakyat sejak ia dilancarkan secara rasmi pada 2 Mac 2023.

Ucapan dasar sulung Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, pastinya dinantikan dengan penuh semangat oleh ahli parti. 

Bagi mereka, amanat dan visi perjuangan yang akan diungkapkan oleh Hajiji bakal menjadi azimat dan pedoman dalam mengharungi  cabaran di gelanggang politik tanah air.

Ini penting kerana Gagasan Rakyat, sebagai tunjang utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui pemerintahan negeri, harus merintis laluan yang jelas dan tuntas.

Sebagai Ketua Menteri, Hajiji menggalas amanah rakyat yang mengharapkan pembelaan terbaik selepas memberikan mandat pada 2020.

Pemerhati politik berpendapat persidangan agung pertama ini bakal menjadi pemicu semangat ahli dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ke-16 berikutan tempoh pemerintahan kerajaan sekarang hanya berbaki kurang dua tahun lagi.

Justeru, ahli-ahli parti yang membahas ucapan dasar Presiden hendaknya fokus ke arah memperkukuh Gagasan Rakyat sebagai `rumah kita’ demi merealisasikan agenda pembangunan tertulis dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sebagai parti dominan dalam GRS, Gagasan Rakyat tidak boleh terus dibuai retorik, sebaliknya mesti bersemangat waja semerah warna baju dan bendera yang menjadi simbol perjuangan.

Selain mencari titik persamaan dan permuafakatan, pimpinan dan ahli parti harus komited merintis perjalanan jauh ke hadapan.

Di perhimpunan inilah semangat perjuangan ahli harus ditiup dan disuburi, untuk membina sebuah kekuatan baharu demi untuk kepentingan negeri dan rakyat terbanyak.

Penganalisis politik turut mengingatkan ahli Gagasan Rakyat untuk mengingati dan mengimbas sejarah politik Sabah pasca PRN pada 2020.

Ia termasuk cabaran pandemik COVID-19 yang mengubah sistem bekerja, kemudian disusuli gugatan kudeta politik yang hampir-hampir meruntuhkan kerajaan yang baharu dibina.

Dinamika politik Sabah yang berwarna-warni sejak pembentukan Malaysia pada 1963, perlu diinsafi dan dijadikan iktibar demi mencari sebuah kestabilan yang berkekalan.

Bukan rahsia lagi bahawa sejak sekian tahun, Sabah mengalami transisi parti yang berterusan dan ia bukan sesuatu yang sihat dalam sistem politik. 
Sabah turut mendapat tempias dari tsunami politik tahun 2018.

Bayangkan dalam tempoh cuma enam dekad, rakyat Sabah telah menukar enam kerajaan lama dan mengangkat enam kerajaan yang baharu, sehinggakan pada suatu ketika dahulu, ada penganalisis pernah menulis bahawa `orang Sabah menukar kerajaan seperti menukar baju’.

Keunikan dan simpang siur politik Sabah selama ini memang indah rupanya, tapi tidak seindah itu apabila ia terkait soal pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat. Politiking yang berterusan hanya merugikan.

Aktivis politik berpendapat Gagasan Rakyat perlu sensitif terhadap denyut nadi dan aspirasi rakyat dari akar-umbi, demi memastikan ia kekal dinamik dalam landskap politik Sabah.

Kesimpulannya, persidangan agung tahunan Gagasan Rakyat ini perlu dijadikan medan oleh ahli parti membaca naratif politik Sabah supaya dinamikanya difahami.

Dengan demikian, Gagasan Rakyat bukan saja menjadi wadah politik alternatif terbaik, tetapi juga kekal sebagai `rumah kita’ sampai bila-bila!.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.
Exit mobile version