Site icon Sabah Baru News

Bertindak segera selesaikan masalah air tercemar di Segaliud Sandakan

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, penduduk Sandakan semakin bimbang dengan kewujudan ladang kelapa sawit di sepanjang sungai Segaliud yang berpotensi menjejaskan kualiti air, memandangkan air sungai merupakan satu-satunya punca sumber bekalan berkenaan untuk loji rawatan air di Segaliud.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air tercemar di Segaliud Sandakan.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, penduduk Sandakan semakin bimbang dengan kewujudan ladang kelapa sawit di sepanjang sungai Segaliud yang berpotensi menjejaskan kualiti air, memandangkan air sungai merupakan satu-satunya punca sumber bekalan berkenaan untuk loji rawatan air di Segaliud.

Katanya, bahan kimia yang digunakan untuk peladang termasuk racun rumpai dan baja boleh mencemarkan sungai, sekali gus punca bekalan air kepada penduduk Sandakan.

Menurutnya, bekalan air yang tercemar mampu memudaratkan kesihatan dan untuk tempoh masa yang lama, bekalan air yang diminum mampu meningkatkan risiko penyakit kronik seperti kanser perut dan sebagainya.

“Rawatan untuk penyakit kanser adalah sangat mahal dan sangat membebankan keluarga serta masyarakat.

“Penyakit itu pula boleh membawa maut dan mengecewakan keluarga yang kehilangan ahli keluarga disebabkan punca-punca berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau menegaskan terdapat keperluan untuk melindungi rakyat Sandakan daripada diracuni bekalan air.

Oleh itu katanya, kerajaan dan syarikat serta komuniti setempat perlu bekerjasama rapat untuk mengambil tindakan segera bagi mengekalkan kualiti bekalan air agar ia memenuhi standard kesihatan yang ditetapkan.

“Hanya pendekatan untuk mengatasi pencemaran air ini sahaja dapat mengelakkan penduduk Sandakan daripada risiko penyakit kanser di masa hadapan.

“Ini adalah tugasan penting memerlukan kerjasama semua pihak dalam masyarakat bagi menjamin kebersihan dan bekalan air yang ada adalah selamat untuk diminum,” katanya.

Chin juga menegaskan pengusaha kelapa sawit di Segaliud yang tidak menepati piawaian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu dikenakan tindakan tegas kerana mereka boleh menjejaskan kualiti air sungai, menyebabkan kerosakan biodiversiti, kerosakan tanah dan banyak lagi.

Katanya, jabatan berkaitan perlu mewujudkan peraturan yang lebih ketat dan perlu sentiasa memantau pengusaha berkenaan bagi memastikan mereka mematuhi piawaian EIA yang ditetapkan.

Menurutnya, segala bahan kimia yang digunakan dalam ladang kelapa sawit berpotensi untuk memasuki kawasan takungan air di kawasan pedalaman sehingga menjejaskan kualiti air. 

Selain itu katanya, pengusaha ladang kelapa sawit juga perlu mematuhi jarak diantara ladang dengan tanah rizab sungai seperti yang ditetapkan dalam EIA, bergantung dengan keadaan air, bentuk muka bumi, tumbuhan, populasi hidupan liar dan pelbagai aspek lagi perlu diambil kira.

— Yap Siong Han

Exit mobile version