Site icon Sabah Baru News

Pemuda Gagasan Rakyat perlu berani, tampil lebih bersemangat untuk berjuang

ALBUM: Shahril (tiga kiri) bersama ahli Pemuda Gagasan Rakyat Klias merakamkan gambar kenangan bersama Ketua Wanita GRS Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun sempena Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat.

KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bukan sahaja perlu mengamati ucapan dasar yang disampaikan Presiden parti tetapi juga harus memberikan yang terbaik kepada rakyat di akar umbi, selari dengan perjuangan parti.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Klias, Mohd Shahril Osin berkata, ianya penting bagi memastikan citra dan aspirasi rakyat di seluruh kawasan berupaya memberi impak yang signifikan kepada seluruh lapisan masyarakat.


“Justeru adalah penting bagi setiap ahli terutama sayap Pemuda Gagasan Rakyat supaya tampil lebih ‘berani’ selepas mendapat suntikan semangat melalui ucapan pimpinan tertinggi Gagasan Rakyat sepanjang Persidangan Agung Tahunan (PAT) Gagasan Rakyat berlangsung.


“Presiden, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam ucapan menyeru supaya ahli parti bangkit memperkukuhkan jentera demi memastikan Gagasan Rakyat bukan sahaja terus padu tetapi juga jitu.


“Sebagai ahli sayap parti, kita perlu mencari kaedah yang ‘hebat’ untuk meyakinkan rakyat di akar umbi terutama para pengundi.


“Ini bukan soal Pilihan Raya semata-mata akan tetapi kita perlu buktikan kepada mereka kemampuan kita, termasuk menentang sebarang tohmahan dan fitnah yang tidak betul terhadap parti serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi tunjang kepada kerajaan yang ada pada hari ini, ” katanya.


Dalam pada itu, Shahril percaya perkongsian Hajiji mengenai peristiwa hitam cubaan rampasan kuasa kerajaan awal tahun ini wajar dijadikan sebagai iktibar kepada semua pihak khususnya parti-parti tempatan Sabah untuk bersatu lebih kuat selepas insiden itu.


Ini kerana katanya, cubaan untuk menjatuhkan kerajaan hanya akan merencatkan usaha serta tumpuan untuk membangunkan Sabah kerana nyaris melumpuhkan pentadbiran kerajaan pada ketika itu.


Shahril sependapat dengan Presiden mengenai soal kestabilan yang ditekankan semasa ucapan dasar di persidangan itu kerana ia bukan sahaja kunci kepada kemakmuran Sabah secara keseluruhan tetapi juga faktor yang dapat membawa pembangunan yang lebih mapan.


“Dengan adanya kestabilan politik, ia bukan sahaja berupaya memberikan ruang kepada kerajaan untuk menjayakan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) tetapi juga mampu membawa Sabah ke landasan yang tepat untuk membangun, ” katanya.

Justeru Shahril berharap persidangan kali ini dapat memberi gambaran yang jelas bukan sahaja kepada ahli tetapi juga masyarakat umum tentang perjuangan Gagasan Rakyat dalam arena politik Sabah sekaligus mengukuhkan GRS bersama parti-parti komponen tempatan lain.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version