Site icon Sabah Baru News

Sabah setuju bentuk Jawatankuasa Bersama Negeri-Persekutuan 

MESYUARAT: Hajiji ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Bersama Negeri-Persekutuan bagi menyelaraskan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersetuju dengan cadangan itu bagi mengatasi kekangan yang menghalang pelaksanaan atau penyiapan projek pembangunan Persekutuan di negeri ini.

Katanya, pembentukan jawatankuasa itu dikendalikan di bawah bidang kuasa Pejabat Pembangunan Sabah (SDO) dan pihak terbabit diarahkan supaya mengambil tindakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek yang ditawarkan.

“Tamatkan kontrak mereka. Kenapa kontraktor berkenaan perlu terus dikekalkan sedangkan projek tidak pernah dimulakan? Kenapa perlu ditangguhkan (pecat kontraktor).

“Saya mahu semua kementerian, jabatan dan agensi mengambil iktibar terhadap isu-isu yang dibentangkan SDO bagi meningkatkan prestasi,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu di sini kelmarin.

Hajiji berkata, dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu, Sabah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk pembangunan berbanding RM6.5 bilion tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga menyerahkan projek pembangunan di bawah RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan setiap projek.

Pada masa sama jelasnya, kerajaan negeri dan Persekutuan juga bersetuju supaya kuasa kawal selia bekalan elektrik diambil alih oleh Sabah bermula 3 Januari 2024.

Selain itu katanya, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meneruskan subsidi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB dilaksanakan selama tujuh tahun sehingga 2030.

“Semua ini jelas menggambarkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan Sabah melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Justeru, semua agensi pelaksana Persekutuan dan negeri perlu meningkatkan prestasi, memupuk kerjasama dan meningkatkan kualiti projek pembangunan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau mengulangi gesaannya agar semua Pegawai Daerah memantau prestasi projek pembangunan, meningkatkan perkhidmatan penyampaian dan menangani isu kemiskinan di kawasan masing-masing.

“Fungsi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan Kumpulan Fokus Kesejahteraan Rakyat Daerah juga perlu dipertingkatkan dan jika ada masalah, laporkan kepada pihak atasan.

“Kita mesti fokus kepada pelaksanaan projek pembangunan kerana bimbang peruntukan itu gagal sampai ke akar umbi akibat tiada kecekapan,” katanya.

Hajiji berkata, semua peraturan yang lapuk dan tidak relevan mesti dikaji semula dan ditambah baik mengikut keadaan semasa.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun membangkitkan isu projek pembinaan Masjid Daerah Ranau yang tertangguh namun belum ada tindakan pemberhentian dikenakan terhadap pihak kontraktor yang terlibat.
 

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version