Site icon Sabah Baru News

ESSCOM beri impak besar lonjak ekonomi masyarakat ESSZONE – Nizam

RASMI: Nizam (tiga kiri) menerima cenderakenangan daripada Jamaluddin (tiga kanan) ketika merasmikan program berkenaan.

TAWAU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dilihat telah memberi impak besar dalam aspek melonjakkan taraf ekonomi masyarakat terutamanya di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ESSCOM memberi kesan positif terhadap tahap ekonomi masyarakat khasnya dalam sektor perniagaan, perladangan mahupun pelancongan.

Katanya, kewujudan agensi ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan melalui pelbagai sektor selaras dengan hasrat Ekonomi Madani, Memperkasa Rakyat.

“Kehadiran ESSCOM yang mengkoordinasi pelbagai agensi keselamatan persekutuan dan negeri telah memberi keyakinan rakyat luar negara untuk datang ke pusat pelancongan di ESSZONE.

“Justeru, saya menzahirkan tahniah kepada seluruh pasukan keselamatan yang bertungkus lumus memastikan kesejahteraan di ESSZONE ini dalam situasi terkawal,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian dalam program Semarak ESSCOM, di Kampung Batu Payung, di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pengecilan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE dapat mengukuhkan lagi agenda Ekonomi Madani khususnya dalam melonjakkan sektor pelancongan.

“Ia juga dapat mengembangkan syarikat tempatan serta memberi manfaat dari segi penggajian yang bermakna dan kesaksamaan peluang kepada rakyat daerah ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana daerah Tawau telah dikecualikan daripada penguatkuasaan Perintah Berkurung sejak 17 Oktober lalu,” katanya.

Menurutnya, operasi keselamatan dan program bersama-sama komuniti yang dikoordinasikan oleh ESSCOM juga memberikan kepercayaan masyarakat terhadap kedaulatan negara.

“Kita tidak nafikan ancaman jenayah rentas sempadan sentiasa wujud, namun ia dapat dibanteras dengan kewibawaan ESSCOM dan kerjasama masyarakat di ESSZONE.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada ESSCOM dan pasukan keselamatan di ESSZONE kerana berhasil mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020,” katanya.

Nizam berharap ESSCOM terus terlibat dalam menjayakan agenda-agenda kerajaan bagi menjana kemakmuran negara dengan mengkoordinasi program Tindakan Awam bersama komuniti ESSZONE.

Sementara itu, Ketua Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, pemilihan program di Kampung Batu Payung kali ini kerana ia hampir dengan kawasan sempadan negara.

Katanya, kawasan ini terdedah dengan ancaman jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah dan barang kawalan serta kemasukan pendatang tanpa izin (PTI).

“Keunikan program kali ini adalah kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Pengunjung dapat membeli barang keperluan dengan harga yang sangat berpatutan menerusi Jualan Rahmah,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version