Site icon Sabah Baru News

Belanjawan lebihan RM35.87 juta – Masidi

MASIDI sedang meneliti laporan sebelum membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 di Bangunan DUN Sabah, Teluk Likas, pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun membentangkan Belanjawan Negeri 2024 berjumlah RM5.737 bilion pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, pada Jumaat.

Bertemakan “Sabah Teguh, Rakyat Terbela”, ia merupakan belanjawan lebihan kesepuluh berturut-turut sejak 2015 dengan lebihan RM35.87 juta.

Masidi berkata belanjawan itu digubal untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui program pembangunan berterusan.

“Kesejahteraan rakyat adalah keutamaan negeri.

“Dengan melaksanakan strategi yang dirangka, rakyat Sabah akan maju selagi ekonomi negeri kita maju dengan kukuh dan mampan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 di Dewan Undangan Negeri, di sini, Jumaat.

Ekonomi negeri, katanya, sedang menuju ke arah pemulihan dengan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 3.7 peratus pada 2022 berbanding 1.5 peratus sebelum ini.

Masidi berkata, dengan melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memperhebat dan mempercepatkan pemulihan ekonomi, beliau yakin pertumbuhan ekonomi keseluruhan negeri bagi 2024 akan kekal positif pada kadar kira-kira 4 peratus.

“Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah telah meningkat daripada RM79 bilion pada 2021 kepada RM81.9 bilion pada 2022, manakala KDNK per kapita Sabah juga meningkat kepada RM35,766 pada 2022 daripada RM30,022 sebelumnya.

“Pertumbuhan positif ini didorong antara lain oleh pemulihan sektor ekonomi utama di Sabah.”

Dari Januari hingga Ogos 2023, katanya, Negeri mencatatkan jumlah imbangan dagangan sebanyak RM13 bilion berbanding RM24 bilion dalam tempoh sama tahun lalu iaitu penguncupan sebanyak 45.8 peratus.

“Penurunan itu didorong oleh penurunan nilai eksport komoditi utama negeri, khususnya Minyak Mentah Petroleum (CO) dan Minyak Sawit Mentah (MSM). 

“Penurunan nilai eksport CO disebabkan oleh penurunan kuantiti eksport sebanyak 7.8 peratus dan penurunan harga pasaran.

“Harga purata CO dalam tempoh ini telah menurun sebanyak 24.5 peratus, iaitu AS$80.59 setong berbanding AS$106.74 setong pada 2022.

“Ini telah mengakibatkan penurunan nilai eksport CO Sabah sebanyak 21.1 peratus,” katanya.

Tambahnya, penurunan nilai eksport MSM adalah disebabkan penurunan harga pasaran.

“Harga purata MSM ialah RM3,873.63 setan metrik berbanding RM5,628.13 setan metrik dalam tempoh sama pada 2022, mewakili penurunan sebanyak 31.18 peratus.

“Penurunan harga MSM telah menyumbang kepada pengurangan nilai eksport sebanyak 27.9 peratus.

”Sementara itu, beliau berkata, jumlah import mencatatkan peningkatan sebanyak RM27.3 bilion daripada RM26.4 bilion dalam tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus.

“Ini disumbangkan oleh kenaikan nilai import barangan utama Negeri seperti makanan, jentera dan kelengkapan pengangkutan, bahan api mineral, pelincir dan sebagainya.

“Namun begitu, saya optimis Negeri akan dapat mengekalkan momentum pertumbuhan positif tahun ini yang akan terus disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, peningkatan dalam pelaburan awam dan swasta serta pemulihan berterusan sektor ekonomi utama.

“Selain itu, pertumbuhan ini juga didorong oleh pengukuhan pasaran buruh yang boleh dilihat melalui aliran menurun dalam kadar pengangguran, iaitu 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, ” katanya.

Sehingga September 2023, katanya, inflasi negeri mencatatkan kadar 1.8 peratus, lebih rendah sedikit daripada kadar nasional 1.9 peratus.

“Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengawal kenaikan harga barang dan menstabilkan kadar inflasi bagi mengurangkan lagi tekanan dan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Masidi berkata Belanjawan Negeri 2024 disediakan untuk mencapai lima objektif strategi perbelanjaan:

Selain itu, katanya, pelaksanaan dasar perbelanjaan berhemat, pembudayaan integriti dan amalan kerja yang berkesan akan memperkemas pentadbiran Kerajaan Negeri selaras dengan tema Bajet 2024.Pengagihan anggaran belanjawan bekalan dan pembangunan di bawah Belanjawan Negeri 2024:

— DE

Exit mobile version