KOTA KINABALU: Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui dilantik sebagai Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) bagi penggal 2023-2025.
Pelantikan dibuat dalam mesyuarat agung tahunan ISWAMI Malaysia di Kuala Lumpur, pada Khamis lepas.
Lichong yang berkecimpung dalam dunia kewartawanan selama 40 tahun, menjadi wakil tunggal Sabah dalam ISWAMI yang ditubuhkan pada 2005 bagi merapatkan hubungan antara wartawan Malaysia dan Indonesia.
Ia menghimpunkan wartawan kedua-dua negara serumpun, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala serta menangani sebarang isu berbangkit menerusi platform media.
Sementara itu, Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dipilih sebagai Presiden ISWAMI bagi penggal 2023-2025, menggantikan Datuk Mokhtar Hussain yang menamatkan penggalnya pada pemilihan itu.
Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dipilih sebagai Timbalan Presiden ISWAMI.
Manakala Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Hanim Muhili dipilih sebagai Naib Presiden 1 dan Ketua Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Kamarudin Mape dipilih sebagai Naib Presiden 2.
Jawatan Setiausaha Agung Iswami kekal kepada Mohd Shukri Ishak, Ketua Penyiaran (TV dan Radio) BERNAMA.
Turut dilantik sebagai Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia ialah Roslan Ariffin, Ketua Pengarang UtusanTV, Datuk Zulkefli Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir, Ketua Pengarang BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaluddin, Ketua Pengarang NST, Farrah Naz Karim dan Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli.
Jawatan Setiausaha Kerja digalas oleh Mohd Razman Abdullah, manakala Setiausaha Kerja 2, Mariati Mohd Arif dan Setiausaha Kerja 3, Siti Kadtijah Hamid.
Dalam pada itu, Ashwad merakamkan ucapan terima kasih dan berharap ISWAMI dapat melakukan satu perubahan yang lebih besar untuk memberi impak kepada negara serta hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
“Kita akan mengukuhkan lagi peranan ISWAMI dan membawa ISWAMI ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu di Jakarta, ISWAMI Indonesia menzahirkan harapan kepimpinan baharu ISWAMI Malaysia akan memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara melalui kerjasama media massa.
Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, berharap presiden baharu ISWAMI Malaysia Ashwad Ismail, selaku generasi baharu dapat mengeratkan lagi hubungan melalui pertukaran maklumat.
“Tahniah Ashwad dan semua pengurusan ISWAMI Malaysia, tugas media merapatkan hubungan antara kedua negara,” menurut Asro dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Dewan Penasihat Persatuan Wartawan Indonesia Pusat, Ilham Bintang turut mengucapkan tahniah, sambil berharap kerjasama sedia ada dengan ISWAMI Indonesia serta wartawan Indonesia-Malaysia menjadi lebih erat.
ISWAMI ditubuhkan pada 2005 untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara, selepas kemunculan pelbagai isu termasuk tuntutan pemilikan bertindih Ambalat, sempadan dan buruh.
Pengasasnya terdiri daripada Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Datuk Zulkefli Salleh, Datuk Zulkifli Hamzah dan Sabaruddin Ahmad Sabri manakala dari Indonesia, Tarman Azzam, Syaiful Hadi, Syamsuddin Ch. Haesy, Ilham dan Asro.
–TAMAT