Site icon Sabah Baru News

Hajiji kerja diam-diam, hasilnya bukan alang-alang

Berlokasi di tengah belantara paru-paru bumi di Kampung Kungkular, projek berkenaan bakal menjadi simbol kemajuan dan mercu tanda baharu landskap pembangunan negeri Sabah di bawah kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor (kanan).

NUN jauh di hutan Ulu Padas, Tenom, sejarah tercipta buat negeri Sabah hari ini apabila projek mega hidroelektrik bernilai RM4 bilion disempurnakan upacara pecah tanah pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berlokasi di tengah belantara paru-paru bumi di Kampung Kungkular, projek berkenaan bakal menjadi simbol kemajuan dan mercu tanda baharu landskap pembangunan negeri Sabah di bawah kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor.

Dengan nilai sebesar RM4 bilion, ia merupakan projek terbaharu dan pemangkin lonjakan pertumbuhan ekonomi Sabah jangka panjang.

Ini kerana projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bakal membantu menangani dua isu serentak — menjamin bekalan elektrik yang mencukupi dan menangani isu air secara tuntas. Sebuah projek mandiri yang bervisi jauh, lagi bersih dan tidak mencemari alam sifatnya.

Amaun RM4 bilion bagi projek ini bukan sedikit jumlahnya, apatah lagi ia dirasmikan Perdana Menteri sebagai bukti dokongan Kerajaan Pusat.

Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW), sekali gus menyumbang secara signifikan kepada grid bekalan tenaga Sabah dengan penambahan sebanyak 15 peratus.

Selain itu, kajian sedang dijalankan agar empangan ini berpotensi membekalkan aliran air bersih dan stabil kepada pengguna sehingga 6,000 juta liter sehari (JLH).

Ia diusahakan bersama Upper Padas Power Sdn Bhd, iaitu hasil kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan sektor swasta, Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

Projek ini merupakan sebahagian kecil daripada sejumlah pencapaian besar yang direkodkan kerajaan di bawah pemerintahan Hajiji dalam tempoh tiga tahun pertama sejak 2020.

Sesingkat itu, Sabah sudah mencipta kejayaan demi kejayaan dalam membawa kemajuan serta menarik pelaburan asing ke negeri ini.

Sehingga kini, Sabah sudah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang cukup signifikan jumlahnya.

MERCU TANDA KEMAJUAN: Hajiji bersama Anwar di tapak upacara pecah tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom pada Khamis.

Dalam tempoh tiga tahun lalu sahaja, Kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

Demikian juga sektor perdagangan. Sehingga kini, Sabah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu melonjak naik RM118.1 bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Demikianlah pendekatan perjuangan Hajiji memimpin negeri. Beliau buat kerja dalam diam-diam dan ternyata hasilnya bukan alang-alang.

Gagasannya luas, pemikirannya tuntas. Tidak sekadar memikir keadaan hari ini, tapi menyisir kehidupan jauh merentas zaman.

Pendekatan proaktif beliau menjangkau berabad ke hadapan lamanya. Tidak hanya fokus pada ekonomi, tapi juga berkait soal hak dan kepentingan Sabah, termasuklah bersangkutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Atas nama perjuangan membela hak dan masa depan rakyat Sabah, Hajiji terus menyuarankan hal itu menerusi pelbagai platform.

Hasilnya kini semakin menyerlah. Kerajaan Pusat sudah menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, disusuli dengan penubuhan Suruhanjaya Tenaga; juga memberi kuasa kepada Sabah bagi pengeluaran permit serta lesen kapal dan peralatan penangkapan ikan laut dalam di perairan Sabah.

Begitu juga dalam isu berkaitan minyak dan gas. Kontrak Perkongsian Pengeluaran  telaga minyak dan gas memberikan Kerajaan Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan; dan memberi Sabah sehingga 50 peratus kepentingan penyertaan dalam telaga minyak dan gas Semarang.

Ini sebahagian contoh nyata komitmen Hajiji membangunkan negeri – seorang pemimpin berjiwa besar yang sentiasa merakyat.

Dalam membawa kemakmuran kepada negeri dan kesejahteraan rakyat terbanyak, beliau memperkenalkan gagasan besar, dikenali Hala Tuju Sabah Maju Jaua (SMJ), sebuah kerangka pembangunan negeri yang cukup komprehensif dan holistik sifatnya.

Tentunya matlamat utama gagasan itu untuk meletakkan Sabah semaju negeri-negeri lain, sekali gus mengejar pembangunan jiran sepulau di Nusantara, Ibu Kota Negara (IKN) Indonesia di Kalimantan Timur.

Mengambil kira prestasi pembangunan terkini dan unjuran kemajuan yang dirangka menerusi SMJ itu, nampaknya masa depan Sabah dijangkakan lebih indah dan bersinar pada tahun-tahun mendatang, seindah impian yang sering rakyat harapkan.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.
Exit mobile version