Site icon Sabah Baru News

Atlet bola sepak Tawau diminta tunjuk semangat juang yang tinggi

SUMBANGAN: Nizam (tengah) menunjukkan jersi khas untuk kegunaan atlet bola sepak Tawau.

TAWAU: Pasukan bola sepak yang mewakili daerah Tawau diminta untuk menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kejohanan Sukan Sabah 2023 (SAGA 2023) di Kota Kinabalu pada 16 Disember depan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semangat juang yang tinggi mampu memberi impak kepada mutu persembahan yang dipamerkan nanti.

Katanya, sememangnya semua pasukan mahukan kemenangan, tetapi perkara yang paling dituntut dalam setiap perlawanan adalah disiplin semasa menghadapi sesuatu perlawanan.

“Saya sangat bersyukur dan berbangga kerana semua atlet yang mewakili daerah ini menunjukkan kemampuan serta kemahiran yang sangat baik.

“Dengan latihan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua atlet, saya yakin kedua-dua pasukan bola sepak lelaki dan wanita daerah ini mampu meraih kemenangan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika beramah mesra dengan atlet pasukan bola sepak Tawau SAGA 2023, di sini kelmarin.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat di daerah ini akan sentiasa menyokong dan mendokong semua atlet yang bertanding dalam kejohanan sukan sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

“Saya juga difahamkan Tawau antara pasukan bola sepak yang disegani dan berada pada tangga teratas sebaris dengan daerah Tenom, Keningau dan Kota Kinabalu.

“Saya berdoa supaya pasukan bola sepak lelaki dan wanita daerah ini berjaya bergelar juara, sekali gus dapat beraksi mewakili negeri di peringkat kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan jersi khas untuk pasukan bola sepak berkenaan dan wang tunai kepada setiap atlet yang terlibat.

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version