Site icon Sabah Baru News

2023 serlah hubungan erat Sabah dengan Persekutuan

Perkara ini jelas dilihat menerusi sambutan meriah rakyat di negeri ini ketika keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah, dalam Kembara Kenali Borneo pada September lepas.

KOTA KINABALU: Pelbagai peristiwa berlaku di Sabah pada 2023 yang menyerlahkan hubungan erat Negeri di Bawah Bayu itu dengan kerajaan Persekutuan, seterusnya mengukuhkan pertalian di dalam sebuah “rumah” bernama Malaysia.

Perkara ini jelas dilihat menerusi sambutan meriah rakyat di negeri ini ketika keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah, dalam Kembara Kenali Borneo pada September lepas.

Tanpa menghiraukan panas terik atau hujan lebat, rakyat Sabah turun beramai-ramai menyambut keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua di bahu jalan untuk menunjukkan rasa sayang kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang begitu terharu dengan situasi itu.

Bagi rakyat negeri itu, keterujaan menyambut Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara Malaysia, memperlihatkan kesetiaan rakyat Sabah dan Sarawak serta penduduk di Semenanjung di bawah naungan Seri Paduka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali yang merupakan antara menteri pengiring dalam kembara itu berkata program berkenaan menyerlahkan kasih sayang rakyat di seluruh negara tanpa mengira wilayah kepada Al-Sultan Abdullah yang memayungi rakyat jelata.

Al-Sultan Abdullah bertitah kembara itu diilhamkan semata-mata untuk mengenali rakyat di Sabah dan Sarawak secara lebih dekat, selain memberi peluang untuk Seri Paduka membina jambatan silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kembara Kenali Borneo yang bermula pada 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak ialah program penjelajahan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Kerjasama erat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam usaha merealisasikan inti pati dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga menyerlahkan hubungan erat Sabah dan Persekutuan dengan pelbagai langkah telah diambil bagi tujuan itu.

Pada Januari lepas, Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023, berikutan pengembalian kuasa kawal selia bekalan gas daripada Persekutuan kepada Sabah yang berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat itu.

Penganalisis Geopolitik Borneo Universiti Malaysia Sabah (GeoPES UMS) Dr Syahruddin Awang Ahmad berpendapat ia membuka peluang terbaik bagi Sabah memanfaatkan hasil gas asli untuk menjadi sumber pendapatan bagi pembangunan dan kemajuan negeri itu.

Selain itu, pada Jun, Hajiji dilaporkan berkata Anwar juga telah memberi lampu hijau bagi Sabah mengambil alih kawal selia bekalan elektrik bermula 1 Jan tahun depan dan satu Persidangan Khas DUN Sabah akan diadakan pada 3 Jun 2024 untuk melaksanakan langkah berkaitan.

Januari lepas menyaksikan Anwar mengumumkan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak bagi projek bawah RM50 juta yang disifatkan Hajiji dapat mempercepat pelaksanaan dan mengelak projek pembangunan di Sabah terbantut disebabkan kerenah birokrasi.

Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 turut mengumumkan kenaikan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta setahun bagi Sabah dan Sarawak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah itu ialah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan dan prinsip pemberian berkenaan diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan kedua-dua negeri lebih mundur semasa pembentukan Malaysia. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony menyambut baik pemberian itu yang disifatkan penting dalam mengatasi masalah infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air di negeri itu.

Penganalisis politik tempatan Musli Oli pula berpendapat segala usaha Anwar itu memperlihatkan keseriusan Perdana Menteri dalam memastikan MA63 dilaksanakan dalam gerak kerja bersama Hajiji.

Usaha memberikan jalan perhubungan terbaik untuk rakyat Sabah direalisasi kerajaan dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, yang menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sudah mencapai 83 peratus siap bagi 15 pakej kerja Fasa 1A projek berkenaan setakat September lepas.

Menurut Nanta, antara masalah dihadapi dalam menyiapkan projek itu ialah bekalan bitumen iaitu bahan bagi membina jalan raya bertar selain perlunya koordinasi bersama pengurusan utiliti negeri, dan kementeriannya sedang mengatasi isu itu.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 28 Nov lepas, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata Surat Setuju Terima (SST) bagi keseluruhan 19 pakej projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B melibatkan jajaran 336 kilometer, dijangka selesai dikeluarkan pada Mac tahun depan.

— BERNAMA

Exit mobile version