Site icon Sabah Baru News

RM350 juta peruntukan bina infrastruktur di Tongod-Masiung

RASMI: Masiung memalu gong simbolik perasmian sambutan Krismas berkenaan.

TONGOD: Kira-kira 5,000 penduduk di daerah ini boleh menarik nafas lega selepas beberapa infrastruktur utama bakal dinaik taraf dan diwujudkan di lima kampung di sini bermula tahun depan.

Projek infrastruktur yang menelan belanja RM350 juta itu membabitkan kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik dan capaian talian internet.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, kemudahan itu adalah impak daripada kemasukan pelabur projek kilang klinker dan simen bersapadu di daerah ini.

Katanya, pembinaan infrastruktur itu dilihat satu perkembangan positif di bawah kerajaan negeri yang ada, sekali gus mengakhiri penantian penduduk sejak awal kemerdekaan lagi.

“Antara penduduk yang mendapat manfaat itu ialah mereka yang tinggal di Kampung Susui, Kawayoi, Langga, Tudungin dan Inarad.

“Selaku wakil rakyat, sudah pasti menzahirkan terima kasih kepada syarikat tempatan Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd (BCS) yang mahu melabur di kawasan ini,” katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi BCS itu berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Sambutan Krismas di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat BCS menandatangani perjanjian usahasama dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).

“BCS akan memberikan fokus utama terhadap penyediaan kemudahan infrastruktur terlebih dahulu sebelum mendirikan kilang berkenaan.

“Kewujudan infrastruktur itu bakal memberi limpahan ekonomi secara berperingkat kepada penduduk dan ia selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam menurun kadar kemiskinan di daerah ini,” katanya.

Masiung berkata, pelan cadangan projek-projek itu sudah tersedia dan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kelulusan.

Katanya, semua projek itu akan dibina secara serentak termasuk membina jalan raya berturap sejauh 26 kilometer (KM) selain membina loji bekalan air terawat.

“Syarikat itu juga akan membina talian bekalan elektrik 40 Megawatt (mw) yang disambung dari jana kuasa di Nabawan sejauh 39 KM.

“Menara telekomunikasi serta jaringan internet menggunakan kabel ‘fabre optic’ turut dibina serentak di penempatan kilang meliputi kampung berdekatan sejauh 60 KM.

“Semua kemudahan asas itu dibina secara ‘Design and Build’ selepas memperolehi kebenaran bertulis dari Jabatan Pembangunan Alam Sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Masiung berkata, sebaik kilang itu beroperasi sepenuhnya ia akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada warga tempatan. 

Terdahulu, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 26 November lalu, Sabah menerima pelaburan bernilai RM2 bilion untuk membina kilang klinker dan simen bersepadu di Tongod.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version