Site icon Sabah Baru News

2,890 pelajar terima bantuan TPNS

ARIFFIN (belakang, empat dari kiri) dan Ghulam (belakang, tiga dari kiri) bersama penerima bantuan TPNS di majlis itu.

KOTA KINABALU: Seramai 2,890 pelajar golongan B40 mendapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di bawah Kumpulan Yayasan Sabah sejak ia dilancarkan tahun lalu.

Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Datuk Ariffin Arif berkata, sejumlah RM3.7 juta telah dibelanjakan KYS untuk tujuan itu bagi memberi bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

“Sejak dilancarkan pada 2021, TPNS telah menerima sumbangan dana sebanyak RM55.7 juta yang objektifnya untuk membantu pelajar dari golongan B40 dan M40 melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Kita amat bersyukur kerana walaupun pelaksanaan TPNS baru satu tahun diwujudkan, namun ia telah memberi manfaat kepada ramai anak-anak Sabah yang memerlukan tajaan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan TPNS di Pejabat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Wisma Bandaraya, di sini, Isnin lalu.

Hadir sama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.Terdahulu, seramai sembilan orang anak Sabah yang berada di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara menerima bantuan TPNS disampaikan Ariffin di majlis itu.

Ariffin yang juga Exco Pendidikan Sabah turut berkata, selain dari kalangan B40, keutamaan bantuan itu juga diberikan kepada mereka yang terlibat pengajian bidang, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, ia bagi memenuhi keperluan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melahirkan tenaga kerja yang cekap, berkemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“TPNS juga terbuka kepada bidang lain, antaranya pengajian agama islam di Universiti Al-Azhar yang dilihat dapat memenuhi kekurangan guru agama di Sabah termasuk beberapa bidang lainnya.

“Kita sebentar tadi juga telah meluluskan permohonan 15 siswa dan siswi kita untuk pengajian ke peringkat tinggi membabitkan bidang agama, farmasi dan pelbagai lagi bidang pengajian,” katanya.

—  Iskandar Dzulkifli

Exit mobile version