Site icon Sabah Baru News

FSI digesa terus perkasa kerjasama

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, membacakan teks ucapan beliau.

KOTA KINABALU: Persekutuan Industri Sabah (FSI) digesa memperkasakan kerjasama positif seperti di Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) dalam usaha mempromosikan perniagaan serta perdagangan bagi menarik lebih ramai pelabur domestik dan antarabangsa ke Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajijii Haji Noor berkata, beliau berbesar hati apabila mengetahui bahawa FSI telah bergabung tenaga dengan ketua-ketua industri untuk menggerakkan ekonomi Sabah.

“Kerjasama dan sinergi antara komuniti perniagaan serta kerajaan adalah kunci untuk memastikan kelancaran pelaksanaan agenda pembangunan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri kita tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran negara,” katanya pada Malam Gala Ulang Tahun FSI ke-40 di sini, pada Sabtu.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai sokongan sektor swasta sebagai rakan kongsi dalam kemajuan dalam pembangunan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajijii Haji Noor .

“Sememangnya kerajaan negeri tetap komited untuk menerajui dan akan mendorong momentum pembangunan untuk semua berkembang maju. 

“Agenda pembangunan dibawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu pertanian, industri dan pelancongan sebagai tumpuan pertumbuhan ekonomi serta modal insan, kesejahteraan rakyat, rangkaian infrastruktur dan kemampanan hijau telah membuahkan hasil,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah mencatatkan prestasi baik dalam pelaburan domestik dan antarabangsa sejak Januari sehingga September 2023. Negeri ini telah merekodkan pelaburan bernilai RM10.2 bilion sekali gus mewujudkan 891 pekerjaan daripada 99 projek.

Katanya, ia termasuklah 13 projek daripada sektor pembuatan, tujuh daripada sektor utama (perlombongan, perladangan dan komoditi) serta 79 daripada sektor perkhidmatan (hartanah, perdagangan dan pengedaran, pelancongan dan utiliti).

Beliau berkata, penubuhan pasukan petugas pelaburan negeri yang berdedikasi menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan sokongan komprehensif, bimbingan dan persekitaran yang kondusif untuk pelabur berkembang maju serta berjaya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif untuk memastikan pelaburan di Sabah terus lancar dalam sektor tenaga, produk berasaskan teknologi hijau, produk hiliran biojisim, minyak dan gas serta pelancongan.

Hajiji berkata, Sabah mengalu-alukan pelabur untuk mengambil peluang pelaburan dan perniagaan dalam industri baharu, termasuk konsep Ekonomi Biru yang diketengahkan, iaitu penggunaan sumber marin secara lestari untuk pembangunan ekonomi bagi menjana pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, memandangkan Sabah mempunyai kedudukan baik dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), negeri itu boleh mengharapkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam di rantau ini.

“Sabah boleh menjadi hab perhubungan serantau bagi pembuatan, maritim, pengangkutan, memenuhi keperluan negara-negara membangun di luar pantai Sabah.

“Saya memuji usaha FSI untuk bukan sahaja melihat Sabah dibangunkan sebagai hab ekonomi tetapi juga keazamannya untuk melindungi, menggalakkan dan memastikan persekitaran perniagaan yang stabil, kondusif dan telus merentasi semua industri. 

“Objektif anda sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memajukan industri sebagai salah satu teras utama SMJ.

“Saya juga gembira melihat peranan FSI dalam terus menegakkan semangat kepimpinan industri, menyatukan sumber, membentuk ekonomi, membuat usaha bersepadu untuk memperkenalkan jalan dan peluang baharu untuk memacu industri serta ekonomi kita ke hadapan.

“Syabas kepada FSI dan ahli-ahlinya atas kemajuan luar biasa yang dicapai sepanjang empat dekad ini. 

“Kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan yang dibawa FSI untuk menerokai lebih banyak peluang seterusnya membolehkan Sabah maju ke arah lebih tinggi,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version