Site icon Sabah Baru News

STBA platform penting promosi jenama tempatan

Sekitar Majlis STBA 2023, MTPN Sabah yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.

KOTA KINABALU: Sabah Trusted Brand Award (STBA) merupakan platform sangat penting untuk mengenal pasti dan mempromosikan perniagaan jenama tempatan dalam  menentukan tujuan, objektif serta nilai  mereka  kepada  pengguna.  

Timbalan Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah Rosnani Tallesang berkata, ia  akan membantu pengguna memahami tujuan jenama perniagaan dan apa yang ingin dicapai.

“Ia juga untuk membantu kedua-dua pengguna dan usahawan membuat pilihan terbaik serta cemerlang. 

“Dengan demikian, MTPN Sabah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan akan menganjurkan pelbagai jenis kategori program kepenggunaan termasuklah pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan dan teknologi maklumat pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis STBA 2023, MTPN Sabah di sini, pada Ahad.

Selain itu katanya, ia bertujuan membantu peniaga yang berdaya saing dan juga membantu pengguna mendapatkan pendidikan, informasi yang tepat serta benar dalam kepentingan jenama dalam bidang perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 41 syarikat yang berjaya dan layak menerima Anugerah STBA kali ini.

Beliau berharap para penerima anugerah bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan jenama, tetapi juga membuktikan anak jati Sabah sangat berkebolehan dan mampu bersaing diperingkat yang lebih tinggi. 

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib.

Hadir sama Yang Dipertua MTPN Sabah Kevin Lo, Pengarah MYIPO Sabah Asmah Khalid serta tetamu kehormat yang lain.

— Yap Siong Han

Exit mobile version