Site icon Sabah Baru News

Pelbagaikan kaedah salur maklumat program kepenggunaan-James

JAMES (tengah) apabila mempengerusi bersama mesyuarat tersebut.

KOTA KINABALU: Setiap program kepenggunaan yang akan dirancang untuk dilaksanakan tahun hadapan, perlu mempelbagaikan kaedah saluran maklumat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.

“Agensi dan Jabatan terbabit perlu mempelbagaikan kaedah saluran maklumat seperti melalui media massa, media sosial, aktiviti turun padang selain melibatkan peserta pelbagai peringkat umur dan lokasi program berlainan,” katanya.

Melalui pendekatan sebegitu, James berkata, beliau yakin akan berlaku peningkatan jumlah rakyat Sabah yang mengetahui hak-hak mereka dan berani bertindak dengan menggunakan saluran yang tepat.

“Pihak kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa komited membantu menangani isu-isu berkaitan kepenggunaan, dan akan sentiasa menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan bagi melindungi pengguna, khususnya di Negeri Sabah,” katanya.

James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa mempengerusi bersama Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah Bil 2/2023 yang diadakan di Hyatt Regency, Kota Kinabalu pada Selasa.

Mesyuarat turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah merangkap Pengerusi GPN Sabah, Georgie Abas, serta Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Maria Chong.

James menambah, mesyuarat tersebut boleh digunakan sebagai suatu medium untuk membincangkan program atau aktiviti yang dapat dianjurkan bersama, dalam usaha mewujudkan satu rangkaian padu antara agensi Kerajaan dan pemegang taruh di negeri Sabah, di samping mendapatkan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan pada 2024.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pembentang jemputan kita hari ini, iaitu Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah, Muhammad Amri Idris, yang sudi berkongsi maklumat.

“Perkongsian ini memberikan pemahaman lebih jelas mengenai hubung kait Indeks Harga Pengguna (CPI) Dan Inflasi serta pembentang dari Pejabat KPDN Negeri Sabah,” katanya.

Beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali, atas pelantikan beliau sebagai Menteri KPDN baharu pada 12 Disember lalu.

“Sebelum ini Datuk Armizan merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) dan dilantik sebagai pemangku Menteri KPDN selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Semoga semua usaha beliau semasa menjalankan tugas sebagai Menteri KPDN memberi manfaat bukan sahaja kepada semua rakyat Malaysia, tetapi juga dikurniakan pahala buat Allahyarham di akhirat nanti,” jelas beliau.

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian, Pengerusi-pengerusi Gerakan Pengguna Daerah (GPD), Ketua-Ketua Jabatan, ahli-ahli Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah, dan sekretariat.

— Clarence Dol

Exit mobile version