Site icon Sabah Baru News

PDM Keningau Station terima kemasukan 23 ahli ke parti STAR

ALBUM: Sebahagian ahli-ahli Keningau Station merakamkan gambar kenangan bersama Jennifer, Fred dan Yazid sempena mesyuarat itu.

KENINGAU: Sempena dengan Mesyuarat Agung Tri Tahunan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station yang diadakan di Bilik Mesyuarat Taman Bandukan Riverside Resort, seramai 23 ahli baharu telah menyertai parti STAR.

Mesyuarat itu disempurnakan oleh Ketua Wiranita STAR Bahagian Bingkor Jennifer Epil yang mewakili Timbalan Presiden STAR Datuk Robert Tawik yang juga Ketua Bahagian STAR Bingkor, yang turut dihadiri Setiausaha Bahagian STAR Bingkor Junior Fred.


Ketua Penyelaras Daerah Mengundi Keningau Station Yazid Mohd Hasnan Tawik memberitahu, kemasukan lagi 23 ahli di Bahagian Bingkor, jelas menggambarkan keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan STAR dan perjuangan parti itu membela rakyat.


Jelas Yazid, kemasukan mereka ke parti STAR adalah secara sukarela tanpa dipengaruhi mana-mana pihak kerana parti itu amat terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang yang ingin berjuang demi Sabah.


“Kepada yang telah menyertai STAR, saya ucapkan tahniah kerana memilih parti STAR sebagai landasan untuk berjuang bersama-sama Presiden, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

“Usaha ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan parti STAR dari pelbagai aspek tetapi juga secara tidak langsung menguatkan usaha untuk memperjuangkan suara rakyat terutama sekali hak-hak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63).


“Yakinlah Presiden (Jeffrey) akan sentiasa berjuang demi rakyat Sabah kerana beliau adalah pemimpin Sabah yang bukan sahaja fokus dengan perjuangan malah tidak putus-putus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dari dahulu sehingga sekarang, ” katanya.


Justeru Yazid mengajak rakyat Sabah supaya bersatu bersama dengan Jeffrey dengan pemimpin-pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar dapat merealisasikan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diusahakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version