Site icon Sabah Baru News

Lebih 10 lokasi panas seperti ‘Little Dhaka’ jadi tumpuan polis

Ayob Khan pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pengarah JPJKK di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. — fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti lebih 10 lokasi panas seperti ‘Little Dhaka’ yang menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara, untuk target operasi bersepadu akan datang.

Namun Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, operasi bersepadu pada kali ini akan tertumpu kepada penempatan-penempatan yang dikuasai PATI.

“Berbeza dengan operasi di Jalan Silang baru-baru ini di mana tumpuan diberikan ke atas premis-premis perniagaan, (namun) kali ini kita meletakkan sasaran di penempatan-penempatan yang dikuasai PATI,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ayob Khan bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi-lokasi berkenaan kerana dikhuatiri berlaku keboc

Namun beliau menegaskan operasi bersepadu itu akan dilaksanakan secara konsisten.

Pada masa sama beliau memberitahu, operasi itu turut bergantung kepada kapasiti di depot Imigresen.

“Masyarakat perlu faham bahawa kadang kala kita (polis) mempunyai kekangan dari segi logistik untuk menempatkan mereka (PATI) di pusat tahanan depot Imigresen.

“Kita mungkin akan ada sedikit kekangan di sini, sebab itu kita perlu merancang dengan teliti.

“Misalnya dalam operasi khas sebelum ini di Jalan Silang, kita menahan kira-kira 1,000, namun lebih 600 daripada mereka terpaksa dibawa ke Pulapol untuk diambil tindakan lanjut,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 1,001 PATI ditahan dalam operasi khas di ‘Mini Dhaka’ sekitar Kompleks Kota Raya dan Jalan Silang pada 21 Disember lalu.

Operasi bermula jam 11 pagi itu disertai seramai 1,138 pegawai dan anggota daripada KDNKA membabitkan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

AWANI

Exit mobile version