Site icon Sabah Baru News

Peningkatan mendadak membingungkan: Umno Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjelaskan peningkatan mendadak dalam bilangan pemilih berdaftar di Sabah.

Beliau berkata peningkatan lebih 50 peratus itu menimbulkan keraguan jika dibandingkan dengan jumlah pengundi pada pilihan raya sebelum ini.

“Lebih mencurigakan terdapat peningkatan tinggi pengundi Bumiputera Islam di kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM), misalnya di kawasan parlimen Penampang.

“Peningkatan jumlah pengundi secara tidak langsung memberi kesan kepada parti politik pada pilihan raya (PRU15) ini,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini juga mempersoalkan peningkatan yang mengejutkan itu, dengan berkata SPR perlu memberi taklimat kepada Kabinet Negeri mengenai perkara itu.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata daftar pemilih yang dikeluarkan SPR menunjukkan peningkatan sebanyak 53.9 peratus dalam pengundi baharu iaitu seramai 574,120 orang.

Jumlah pengundi ialah 1,064,686 orang pada 2018 tetapi meningkat kepada 1,638,806 kali ini dalam tempoh empat tahun sahaja.Yong mengesyaki lonjakan rekod dalam jumlah pengundi baharu adalah disebabkan skandal ‘”IC Projek”.

Sementara itu, Bung meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan kelayakan mengundi awal dan undi pos kepada mahasiswa yang sedang menuntut di unversiti bagi memberikan hak serta peluang kepdaa mereka untuk memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau berkata hak pengundi muda itu sebagai pemilih berdaftar tidak boleh dipinggirkan.

“Kita sedia maklum penuntut  unversiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun yang kini sedang menuntut dan sebahagiannya baru sahaja mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di semua unversiti di negara ini.

“Justeru, kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran untuk membuang undi  awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Penolong Setiausaha Agung Safa Azman Mastar dan kakitangan Safa bagi membincangkan pelancaran Akdemi Safa diseluruh Sabah dan Pelancaran pecah tanah tapak Safa Kinabatangan di kediamannya di Luyang.

Menurut Bung, yang juga Ketua Umno Sabah, pelajar yang berada di unversiti sudah tentu mengalami kekangan untuk keluar mengundi kerana tinggal jauh dari tempat kelahiran mereka.

“Ia akan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi untuk balik ke kawasan masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada PRU15, sama ada mereka dari Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak, atau dari daerah lain. 

Justeru Bung menambah pihak SPR perlu memikirkan penyelesaian memberikan mereka ruang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih tanpa menjejaskan pembelajaran mereka.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata,pelaksanaan undi pos atau undi awal  bagi mahasiswa yang berumur 18 tahun ke atas perlu dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk prosedur dan tatacara memandangkan jumlah pelajar IPT di Malaysia mencecah lebih 500,000 orang.

“Adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan  pengundi muda diberikan ruang dan keselesaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih bagi menentukan masa depan negara sekali gus menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi,” katanya.

EDITOR

Exit mobile version