Site icon Sabah Baru News

Kerajaan GRS memasuki tahun ke-4

Sekitar Jelajah GRS di Parlimen Kudat pada Ogos 2022 . (Gambar Hiasan)

JIKA mengikut tahun, kerajaan GRS yang mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2020, tahun ini memasuki tahun ke-4, walaupun kiraan tempoh hanya 3 tahun lebih sedikit.

Dalam tempoh tiga tahun, kerajaan mengharungi perubahan politik yang amat drastik, termasuk cubaan kudeta pada 6 Januari 2023 (hanya 5 hari lagi peristiwa pahit itu genap setahun).

Mana-mana parti apabila cukup masa sepenggal yang diberikan rakyat, maka perlu kembali semula kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan misi Sabah Teguh Rakyat Terbela tentunya mempunyai hasrat besar agar rakyat memberikan mandat pada PRN akan datang. Mandat diperlukan selain meneruskan pembelaan pada rakyat juga untuk merealisasikan misi itu menerusi Sabah Maju Jaya.

Perkara utama pertimbangan rakyat adalah pencapaian kerajaan baik daripada segi ekonomi, sosial, politik mahupun keamanan.

Jika rakyat mempertimbangkan pencapaian, maka tidak syak lagi, Kerajaan GRS perlu diteruskan.

Kerajaan GRS yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan sebagai kerajaan terbaik pernah wujud di Negeri Sabah.

Jika berpandukan data pencapaian, terutama berkaitan kutipan hasil, nilai perdagangan, pencapaian berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kuasa-kuasa negeri, hak-hak dalam isu minyak dan gas, kawal selia tenaga, dan juga kualiti peluang yang diberikan pada pemimpin Negeri di peringkat Kerajaan Persekutuan, era GRS adalah yang terbaik sejak merdeka.

Atas sebab kualiti keyakinan yang diberikan kerajaan Persekutuan pada kepimpinan GRS, maka GRS menjamin kekukuhan kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal, tidak terpengaruh dengan mana-mana gerakan yang cuba menumbangkan kerajaan menerusi tindakan tebuk atap.

Bagi pemimpin GRS, komitmen kerajaan Persekutuan berkaitan MA63 pada era ini cukup tinggi, maka tiada sebab mengubah sokongan. Kata bidalan, jangan bunuh angsa bertelur emas, kerana adanya janji bulan bintang.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version