Site icon Sabah Baru News

Sabah Maju Jaya sebuah destinasi

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika berucap melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) .

MEREKA yang memperolok cogan kata pada jata negeri Sabah Maju Sabah yang diperkenalkan pada tahun 1988, hakikatnya adalah kumpulan yang tidak mengakui keupayaan pemimpin sendiri mengurus dan mentadbir khazanah negeri.

Seperkara lagi, bahawa mereka itu gagal menghayati mengapa cogankata itu diperkenalkan, dan apabila Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengangkatnya sebagai destinasi, yang diterjemahkan sebagai halatuju membangun dan memajukan negeri dan rakyat mereka menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Mereka itu sama sekali tidak mengakui bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan perkara pertama yang perlu adalah destinasi (atau Goal). Dengan adanya destinasi, maka langkah-langkah menjayakannya disusun sedemikian rupa sehingga tiba pada garisan penamat.

Tanpa destinasi, akan menjadi sesebuah kerajaan seperti tanpa tujuan, bagaikan lalang rebah sini rebah sana mengikut tiupan angin.

Selama 27 bulan kerajaan negeri ditadibir Parti Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal sejak Mei 2018, sehingga Ogos 2020, kerana tiada destinasi, maka telah menyebabkan merudumnya perekonomian negeri.

Perekonomian negeri yang berkembang positif purata 8 peratus setahun sehingga Disember 2017, merudum, bermula tahun 2018 dengan pertumbuhan 1.5 peratus, 0.5 peratus pada tahun 2019 dan negatif 9.2 peratus pada tahun 2020.

Kerana kebijaksanaan rakyat Sabah, maka parti yang menerajui kerajaan menerusi tebuk atap itu ditumbangkan pada PRN16 Sabah September 2020.

Apabila kerajaan yang menggantikan kerajaan yang memudaratkan perekonomian negeri selepas PRN tersebut maka secara berperingkat perekonomian negeri dipulihkan, dan seterusnya perekonomian menjadi positif semula, dan tahun ini dijangka pada kadar 4 peratus. Kadar 4 peratus daripada permulaan negatif 9.2 peratus adalah satu pencapaian luarbiasa.

Dalam rangka pemulihan perekonomian negeri menerusi kerangka SABAH MAJU JAYA, kutipan hasil negeri meningkat dengan drastik sehingga mencipta rekod pada tahun 2022 dengan jumlah mendekati RM 7bilion. Nilai perdagangan negeri mencipta rekod baharu pada tahun yang sama berjumlah RM118.1 bilion.

Selain pemulihan ekonomi, pemerintahan kerajaan GRS mecapai kejayaan demi kejayaan termasuk tuntutan perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.

Kuasa-kuasa negeri juga secara berperingkat dikembalikan, misalnya kawalselia tenaga diserahkan pada Kerajaan Negeri bermula tahun ini.

Faktor apa yang membolehkan kerajaan melakar pencapaian yang begitu baik? Pertamanya adanya pemimpin yang berpandangan jauh, keduanya adanya destinasi jelas, ketiganya, adanya kestabilan politik dan keamanan.

Kestabilan politik adalah isu pokok, kerana menerusinya, adalah pencerminan kekuatan. Kekuatan boleh digambarkan sebagai Sabah Teguh Rakyat Terbela, dan ianya tercapai menerusi kesatuan. Tanpa kesatuan, maka akan membantutkan apa yang rancang, kerana terganggu dengan berbagai karenah termasuk mengubah kerajaan ditengah jalan.

Untuk mengelak tidak berlakunya kesatuan, maka semua pihak perlu menerima, bahawa kestabilan politik akan membuahkan kemakmuran dan kesejahteraan. Atas sebab itu, wajar penyokong pendekatan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, Sabah United demi Sayangi Sabah. Apabila semuanya sepakat, maka kita semua akan sedar, bahawa SABAH MAJU JAYA satu destinasi yang perlu direalisasi, dan ianya tanggungjawab semua.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version