Site icon Sabah Baru News

Muhyiddin kekal tanding di Pagoh

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengumuman Presiden BERSATU itu kekal bertanding di Pagoh dibuat oleh Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri dalam satu kenyataan semalam dengan harapan dapat membawa kejayaan bagi gabungan itu pada PRU-15 yang akan berlangsung 19 November ini.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor yakin Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti lebih besar termasuk menerusi sokongan ahli-ahli PAS dengan parti itu kekal dalam gagasan PN pada PRU-15 ini.

“Tan Sri Muhyiddin dan calon-calon PN di seluruh negara juga dijangka menerima sokongan pengundi baharu dan Undi18 serta ramai lagi pengundi sedia ada kerana mahu merealisasikan aspirasi mewujudkan kerajaan bersih, berintegriti dan berprestasi tinggi selain prihatin dan komited memerangi rasuah di segenap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Solihan yakin kedudukan Muhyidin di Parlimen Pagoh tidak tergugat walaupun UMNO memaklumkan mereka menerima kemasukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Najib Lep baru-baru ini.

“Jelas tindakan Najib menyertai UMNO untuk menyambung talian hayat karier politiknya yang kian malap sebagai ahli bebas dan beliau boleh berangan menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Pagoh pada PRU-15 ini atau calon di DUN Bukit Pasir pada PRU-16 lima tahun lagi walaupun sekadar meraih 1,860 undi di DUN itu pada PRN lalu.

“Pada masa sama, UMNO menerima keahlian bekas ahli PAS itu pula merasakan ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan daripada Najib tetapi bukan untuk meletakkan beliau sebagai calon di DUN Bukit Pasir atau kerusi Parlimen Pagoh kerana UMNO lazimnya jarang memberi laluan mudah kepada bekas ahli Pas untuk dilayan sedemikian,” jelasnya.

Pada 18 Oktober lalu, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed memberitahu bekas ADUN Bukit Pasir daripada PAS itu menyertai UMNO Cawangan Selancar bagi meneruskan perjuangan politiknya.

Pihaknya menerima permohonan Najib untuk menyertai UMNO pada 31 Mei lalu yang turut disertai 60 lebih penyokongnya.

Berita Bersatu

Exit mobile version