Site icon Sabah Baru News

Sabah rancang ambil alih SESB dalam tempoh 7 tahun:Hajiji

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata ketika ini pemilikan Sabah Electricity Sdn Bhd di peringkat kerajaan negeri hanya 17%, manakala Tenaga Nasional Berhad adalah 83%.

KOTA KINABALU: Persidangan khas DUN Sabah diberitahu bahawa kerajaan negeri sedang merancang untuk mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam tempoh tujuh tahun.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah akan mencari satu formula khusus bagi merealisasikan rancangan itu.

“Sekarang ini pemilikan SESB di peringkat kerajaan negeri hanya 17%, manakala TNB (Tenaga Nasional Berhad) 83%,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024.

Beliau berkata faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan bekalan elektrik di Sabah ketika ini bukan hanya berkaitan dengan kekurangan kapasiti penjanaan, tetapi juga mengenai kenaikan beban pengguna.

Katanya, Sabah memberi fokus kepada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek dilaksanakan secara fast track bagi mencapai jidar simpanan penjanaan (generation spare capacity) ke tahap kukuh iaitu 30%, komitmen yang selari dengan Pelan Induk Halatuju Tenaga Sabah 2040 yang dilancarkan September lepas.

Hajiji berkata usaha itu antara lain melibatkan penyewaan set janakuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100MV secara berperingkat iaitu 40MV pada Disember lepas dan 60MV pada Mac 2024.

“Selain itu, pelanjutan operasi loji janakuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70MV; di samping penyiapan projek Solar Berskala Besar (LSS) 62MV pada tahun ini.

“Cadangan pemasangan Battery Energy Storage System sebanyak 100MV yang dijadualkan siap pada 2026 akan diawalkan dengan disasar siap pada 2024; dan penyewaan loji berasaskan gas 100MW bagi tempoh interim sehingga loji gas tetap 100MW siap dibina,” jelasnya.

Bagi memastikan kemampanan kapasiti penjanaan mencukupi, Hajiji berkata Pelan Pembangunan Penjanaan jangka sederhana dan panjang juga akan dilaksanakan, antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400MV, projek LSS 100MV.

Beliau berkata terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung-tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link.

“Ini akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna-pengguna industri di masa akan datang,” katanya.

Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 itu kemudian diluluskan dengan suara terbanyak.

— Bernama 

Exit mobile version